Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Seorang Lagi Ditahan Bantu...

GEORGE TOWN - Seorang lagi lelaki yang diburu bagi membantu siasatan berhubung kes...

Kerajaan PH Tidak Akan...

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian...

Kelantan Miskin Sebab Dendam...

KEBERGANTUNGAN Kelantan kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan sebenarnya berpunca daripada tindakan bekas Perdana...

Suspek Pecah Pintu Bank...

IPOH - Pihak polis masih meneruskan siasatan berhubung kes memecah pintu cermin empat...

Terbit Berita Tak Benar, Individu Pertama Dituduh

KUALA LUMPUR — Seorang lelaki rakyat Denmark dipenjara seminggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menerbitkan berita tidak benar di rangkaian perkongsian video terbesar dunia, YouTube, berhubung pembunuhan Dr. Fadi Mohammed Al Batsh, imam dari Palestin yang ditembak mati berhampiran kediamannya di Setapak dua minggu lepas.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu ke atas Salah Salem Saleh Sulaiman, 46, selepas tertuduh, yang memakai cermin mata, berjubah putih, dan berkopiah hijau, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Lelaki itu, yang berasal dari Yaman dan bekerja sebagai pembersih kuda di Denmark, menjadi individu pertama didakwa dan dijatuhi hukuman mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 selepas akta itu diwartakan dan berkuat kuasa mulai 11 April lepas.

Salah Salem, yang datang ke negara ini pada 11 April lepas untuk melancong, diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 April lepas dan akan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut mengarahkan Salah Salem memadam video rakaman itu dari akaun YouTube.

Salah Salem dituduh dengan niat jahat menerbitkan berita tidak benar melalui rakaman video di akaun YouTube atas nama ‘Salah Sulaiman’ bertajuk “Pembunuhan Sheikh Al Ghazawi Fadi Al Batsy di Kuala Lumpur, cukuplah Allah bagi kami sebaik-baik wakil” di sekitar Kondominium Puteri Idaman, Jalan Meranti, Setapak di sini antara 6.50 pagi dan 9 pagi pada 21 April lepas.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1) Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, selepas pertuduhan dibacakan dan barang-barang kes termasuk telefon bimbit dan kayu swafoto dikemukakan di mahkamah, sebuah video turut ditayangkan melalui televisyen yang memaparkan seorang lelaki bercakap dalam bahasa Arab di lokasi pembunuhan Dr. Fadi dengan mendakwa Polis DiRaja Malaysia tiba lewat di tempat kejadian iaitu 50 minit kemudian manakala ambulans pula tiba selepas satu jam.

Lelaki itu turut mendakwa bahawa dia ada bersama-sama Dr. Fadi ketika ditembak dan beliau masih bernafas selepas insiden itu.

Ketika ditanya Hakim Zaman, tertuduh mengesahkan rakaman video itu miliknya dan dia adalah individu di dalam video itu.


Ketika rayuan bagi mengurangkan hukumannya, lelaki itu yang tidak diwakili peguam, meminta maaf kepada mahkamah kerana dia datang ke Malaysia untuk melancong dan tidak mengetahui undang-undang di Malaysia.

“Saya tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa pun, ia adalah kata-kata ketika saya dalam keadaan marah. Saya kesal. Ini adalah kesilapan saya. Saya mohon maaf.

“Saya tidak tahu apa-apa pun tentang Malaysia. Saya mohon maaf kepada semua di Malaysia…saya mempunyai tiga isteri dan enam anak, saya tiada sesiapa pun di Malaysia,” katanya yang berulang kali memohon maaf dan kemudian menundukkan kepalanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal berbentuk pencegahan dengan mengambil kira tindakan menyebar berita palsu perlu dihalang kerana ia memberi impak dan pengaruh negatif kepada pihak tidak bersalah selain boleh memudaratkan ketenteraman awam dan negara.

“Penyebaran berita palsu itu bukan sahaja menjejaskan imej Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tetapi juga negara dan turut mengguris hati keluarga mangsa. Tertuduh sepatutnya lebih menghormati undang-undang Malaysia,” katanya.

Mengikut fakta kes, pihak polis telah menerima satu rakaman video berdurasi 1 minit 49 saat memaparkan seorang lelaki Arab sedang membuat kenyataan yang turut memaparkan sarikata dalam bahasa Malaysia dan hasil siasatan mendapati kandungan video itu mengandungi berita tidak benar bertujuan menjatuhkan imej PDRM.

Pada 21 April lepas, Dr. Fadi, 35, yang juga pensyarah kejuruteraan elektrik di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini, ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak di sini pada kira-kira 6 pagi semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimamkan solat Subuh. — BERNAMA

Kategori