SEORANG wanita di bandar Jiangsu Huaian, China tidak menyangka sebatang ais krim yang dimakannya mengandungi bendasing yang sangat menjijikkan.
Lapor Shanghaiist, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Yang Xinru berkata, dia mengigit ais krim itu beberapa kali dan mendapati bendasing berbulu di dalamnya.
Pada awalnya, Yang menyangka objek pelik yang terkeluar di hujung ais krim itu adalah ulat bulu lalu meminta rakannya datang untuk memastikannya.
Rakannya kemudian menarik bendasing tersebut keluar dari aiskrim tersebut, namun gagal kerana ia melekat terlalu kuat.
Selepas memerhatikan bendasing itu seketika, barulah mereka menyedari bahawa ia adalah ekor tikus.
“Saya cuba menariknya keluar, tapi gagal. Bila dilihat dengan teliti, ia sebenarnya ekor tikus,” katanya dalam kejadian Selasa lalu itu.
Walaupun pada awalnya Yang berasa loya dengan penemuan itu, namun dia sedar bahawa ini adalah peluang untuknya.
Pada awalnya pemilik pasar raya cuba menawarkan sedozen aiskrim sebagai pampasan. Namun Yang enggan menerimanya. Pemiliknya kemudian menawarkan pampasan tunai bermula dari 800 yuan (RM495) sehingga 2,000 yuan (RM1,237).
Bagaimanapun, Yang masih tidak berpuas hati dengan amaun yang ditawarkan, sebaliknya menuntut pampasan sebanyak 50,000 yuan (RM30,943.05) atas alasan tergigit ekor tikus tersebut.
“Gila…saya hampir tertelan seekor tikus. Ini bukan perkara main-main yang boleh diselesaikan dengan jumlah ganti rugi yang sedikit,” katanya.
Malangnya, apabila Yang membawa pihak berkuasa campur tangan dalam perkara itu, dia dimaklumkan bahawa dia hanya layak menuntut pampasan 1,000 yuan (RM618.86) sahaja.
Tetapi tidak diketahui sama ada Yang menerima jumlah pampasan tersebut atau sebaliknya. – MYNEWSHUB.CC