SEORANG anak Malaysia telah mengharumkan nama negara dengan menyertai ekspedisi ‘Fjällräven Polar 2018‘ yang memerlukannya mengendali kereta luncur salji anjing di bumi Artik, baru-baru ini.
Lapor Astro Awani, Rizal Khalif tekad menyertai ekspedisi yang disifatkannya sebagai amat mencabar itu termasuklah mendapat kritikan semasa awal penglibatannya bermula 9 hingga 16 April lalu.
Menurutnya, ramai yang beranggapan bahawa mengendalikan kereta luncur salji anjing ini merupakan perkara yang sensitif bagi seorang yang beragama Islam.
Bagaimanapun, dia telah berhubung dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan mendapatkan nasihat serta garis panduan sebelum menyertai aktiviti berkenaan.
Rizal mengakui bahawa agak sukar baginya mengendali enam anjing Huskies kerana sebagai umat Islam dia tidak pernah membela anjing sebelum ini.
Tambahan pula, dia perlu pastikan haiwan tersebut dalam keadaan selesa seperti menyediakan tempat teduh untuk ia berehat dan menyediakan makanannya.
“Setiap satu daripada mereka mempunyai perangai dan kerenah masing-masing. Perkara utama yang kami semua perlu dahulukan adalah anjing-anjing ini, kemudian baru diri sendiri.
“Saya menghadkan diri saya untuk menyentuh dan memeluk anjing-anjing ini walaupun saya sudah memakai sarung tangan dan berpakaian tebal serta kalis air. Cuma pernah sentuh beberapa kali dan memuji anjing-anjing tersebut sebagai penghargaan,” jelasnya.
Cuaca yang sangat sejuk memberi cabaran besar dari segi fizikal dan mental buat pengemudi anjing huskies berkenaan.
Semangat yang tinggi memberi keyakinan kepada Rizal dan menganggap segala cabaran bukanlah satu penghalang buatnya tetapi ia adalah ujian bagi menguatkan diri.
“Pada hari terakhir ekspedisi itu, perasaan saya memang sebak dan sedih, tetapi apabila saya berjaya membawa bendera Malaysia ke garisan penamat, perasaan bangga itu tidak dapat digambarkan.
“Saya bukan sahaja mengharumkan nama negara, tetapi saya juga telah memperkenalkan Malaysia kepada rakan-rakan ekspedisi yang lain tentang menariknya negara kita ini,” luahnya.
Pengalaman Rizal selama lapan hari menyertai ekspedisi itu, turut dikongsikan melalui media sosialnya Facebook dan Instagram. – MYNEWSHUB.CC/MIZE