SELEPAS dikecam hebat netizen gara-gara isu hidangan ayam rendang ‘rangup’, juri program realiti masakan MasterChef UK akhirnya tampil memberikan penjelasan mengenai isu panas berkenaan.
Gregg Wallace dan John Torode hadir ke rancangan Good Morning Britain bagi menjelaskan perkara sebenar tindakan mereka yang dikatakan menjadi penyebab penyingkiran peserta Malaysia, Zaleha Kadir Olpin.
Dalam rancangan bual bicara tersebut, mereka berdua diminta untuk menjelaskan perkara yang terjadi itu oleh hos rancangan berkenaan, Ranvir Singh dan Kate Garraway.
Jelas Wallace, individu yang mengeluarkan komen ayam rendang dihidangkan Zaleha sebagai tidak rangup itu, dia sebenarnya bermaksud bahawa juadah itu sebenarnya tidak cukup masak.
“Saya tidak bermaksud ia seharusnya digoreng, seperti ayam goreng. Apa yang saya maksudkan adalah ia tidak masak. Ia hanya tidak masak. Ia putih dan lembik,” katanya pada rancangan itu.
Hos rancangan berkenaan turut mempersoalkan kenyataan Wallace itu dengan menempelaknya berhubung perkataan yang digunakannya untuk menggambarkan apa yang dimaksudkan.
“Tetapi anda sebut ‘crispy’!” katanya.
Wallace kemudian menangkis tanggapan ramai bahawa Zaleha disingkirkan disebabkan ayam rendangnya itu dan bukan disebabkan kebolehan memasaknya dengan mengatakan tukang masak yang berjaya ke peringkat seterusnya itu sememangnya yang terbaik.
“Percayalah tukang masak yang terbaik selalu melepasi ke peringkat seterusnya. Dia (Zaleha) disingkirkan bukan kerana kulit rendang ayam tidak rangup. Dia disingkir kerana peserta lain lebih baik,” ujarnya.
Kenyataan Wallace itu turut dipersetujui Torode yang turut mempertahankan keputusan mereka menyingkirkan Zaleha hanya disebabkan kebetulan ada peserta lain lebih bagus pada hari tersebut.
Torode juga berkata bahawa dia pernah melakukan sebuah siri televisyen mengenai pengembaraannya ke Malaysia dan menyifatkan makanan di negara ini sangat ‘hebat’.
Hos rancangan itu kemudiannya berkata bahawa Torode sepatunya tahu mengenai juadah rendang dan Torode membalas dengan yakin bahawa kerana itulah dia memberikan komen sedemikian.
“Memang saya tahu. Saya cakap kepada dia (Zaleha), ia belum cukup masak,” jelasnya.
Sebelum itu, Wallace mengulas tentang isu hangat ini sehingga turut melibatkan komen sinis dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai penyingkiran itu.
“Kerana kekecohan itu Perdana Menteri Malaysia turut terlibat,” katanya.
Kehadiran kedua-dua juri MasterChef UK ke rancangan bual bicara berkenaan merupakan penampilan pertama mereka selepas isu ayam rendang ini hangat diperkatakan netizen.
Bagaimanapun, kenyataan terbaharu mereka ini sebenarnya tidak akan membuat netizen berdiam diri, apa yang dimahukan orang ramai sebenarnya adalah permohonan maaf terbuka dari mereka setelah mengguris hati seluruh rakyat Malaysia – MYNEWSHUB.CC/EZ