BALING – Segala kemudahan termasuk subsidi yang diberikan kepada jemaah haji dan juga pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) dibimbangi akan terjejas sekiranya pembangkang menguasai kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata selain itu hubungan baik negara dengan Arab Saudi juga boleh memberi kesan sekiranya tampuk pemerintahan negara berpindah kepada pembangkang.
“Bayangkan sekarang pun kita mendapat subsidi sehingga RM400 juta setahun untuk mengerjakan ibadah haji serta pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada jemaah kita disebabkan hubungan baik kita dengan mereka dan jika kita kalah, semua ini tidak mungkin akan dinikmati lagi.
“Bukan saja TH tetapi apa saja yang berkaitan dengan pelbagai institusi seperti maahad tahfiz, sekolah agama serta pondok malah masa depan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sekali pun akan terjejas,” katanya selepas menyampaikan sumbangan sebuah van kepada Maahad Tahfiz Darul Hijrah di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut adalah bagi kemudahan hampir 100 pelajar di situ untuk berulang alik ke masjid atau sekolah setiap hari.
Mengenai program itu, Abdul Azeez yang juga anggota Parlimen Baling berkata rakyat pastinya sedar dengan komitmen yang ditunjukkan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membangunkan pengajian Islam.
Katanya melalui Yayasan Pembangunan Rakyat Baling, yang dipengerusikannya, usaha dibuat bagi memastikan keperluan 60 pusat tahfiz di Baling dipenuhi.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata Tasik Gua Reban yang terletak di Kampung Charuk Sikin, Mukim Kupang di sini akan dibaik pulih serta dinaik taraf menjadi taman herba yang terbesar seumpamanya di Malaysia.
Kos pembinaan taman herba itu yang bernilai RM10 juta telahpun diluluskan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan akan dimulakan sebaik sahaja kerajaan BN di beri mandat semula selepas pilihan raya umum nanti, katanya semasa berucap merasmikan Perumahan Lion Group serta Kenduri Rakyat di Wang Dalam di sini.
“Tasik seluas hampir tiga hektar itu akan ditanam dengan pelbagai jenis herba dan tanaman semula jadi yang sememangnya terdapat di Baling. Ini secara tidak langsung menunjukkan Baling ini kaya dengan pelbagai tumbuhan yang berpotensi bagi kajian perubatan dan masakan,” katanya.
Katanya, projek yang dijangka siap dalam tempoh setahun lebih itu juga akan menyaksikan pelbagai kemudahan disediakan bagi pengunjung yang bukan saja dari Baling tetapi negeri jiran termasuk Pulau Pinang, Kelantan dan Perak. – BERNAMA