TERDAHULU kumpulan rap lagenda, KRU yang dianggotai oleh tiga adik beradik iaitu Datuk Norman, Yusry dan Edry akhirnya menemui kata sepakat untuk membubarkan kumpulan tersebut selepas 25 tahun penubuhannya.
Susulan perkara itu, terdapat desas-desus mendakwa pembubaran itu konon berpunca daripada timbul perselisihan faham antara mereka tiga bersaudara.
Bagaimanapun, perkara itu diselar oleh Norman yang menjelaskan, tidak timbul sebarang isu bertikam lidah sehinggakan Edry membuat keputusan membawa keluarganya berhijrah ke luar negara.
Sebaliknya, Norman berkata pembubaran itu hanya membabitkan aktiviti nyanyian selepas 25 tahun bersama.
“Perbalahan itu perkara biasa, malah boleh dikatakan setiap hari ia berlaku, Tetapi, tidak sehingga membuatkan hubungan kami adik-beradik berpecah-belah.
“Kami hanya tidak bersama di pentas nyanyian, tetapi dari segi pengurusan syarikat, semuanya masih berjalan seperti biasa.
“Sejak buat persiapan sempena konsert ulang tahun ke-25 KRU, hubungan kami jadi lebih akrab. Saya emosi pada sidang media lalu kerana terbayang wajah ibu bapa, selain mengenang sokongan peminat sejak KRU ditubuhkan.
“Ia bukan gimik untuk lariskan tiket konsert, sebaliknya memang keputusan itu dibuat atas kehendak bersama,” kata Norman dipetik BH Online.
Baca: Kumpulan KRU Bakal Bubar Selepas 25 Tahun ‘Beraksi’
Juga: Edry Berhijrah Ke Eropah, Demi Kepentingan Anak
Dalam pada itu, menurut Norman lagi, mereka masih tetap bersama malah kini dalam proses menyusun perancangan untuk menghasilkan filem biografi KRU dan menerbitkan dokumentari yang akan dilancarkan pada Julai depan.
“Kami mahu ada garis penamat dalam perjalanan kerjaya yang panjang ini. Edry mempunyai perancangan sendiri, begitu juga Yusry. Setiap mereka ada hala tuju tersendiri menerusi syarikat yang diusahakan.
“Kami tetap bersama, malah jika ada projek tertentu, kami akan bahagikan kepada syarikat masing-masing untuk menguruskannya mengikut kepakaran.
“Selepas ini, saya akan memberikan fokus kepada kerja di balik tabir sebagai pengerusi atau presiden syarikat. Saya akan serahkan kepada generasi baharu untuk menggerakkan syarikat ini. KRU sudah ada nama besar dan perlu mempunyai legasi.
“Dengan adanya KRU Academy, saya berharap mereka akan menyambung perjalanan kami. Saya harap peminat faham dan tidak menganggap kami bubar kerana tiada lagi persefahaman,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, KRU merupakan kumpulan rap yang mula ditubuhkan pada tahun 1992 dan paling diminati oleh para remaja sekitar dekad 1990-an.
Kumpulan ini telah mengembangkan lagi bidang yang diceburi dengan menubuhkan syarikat rakaman dikenali sebagai KRU Records.
Selain itu, KRU juga menubuhkan syarikat mereka sendiri iaitu KRU Studios yang mengkhususkan industri media dan hiburan di Malaysia. – MYNEWSHUB.CC/AM