KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan buat julung kali menghantar sebuah kapal jenis Frigate Kapal Diraja (KD) Lekiu TLDM bagi menyertai eksesais ketenteraan Rim of The Pacific 2018 (RIMPAC) di Honolulu, Hawaii.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata kapal berkenaan akan belayar pada hujung bulan Mei ini.
Beliau berkata apa yang lebih menarik, atas inisiatif TLDM pelayaran ke Hawaii ini akan disertai beberapa kapal perang negara lain termasuk dari Indonesia, Filipina, Jepun dan India yang juga berpeluang menyertai latihan di laut PASSEX (passage exercise).
Beliau yang tidak mendedahkan jumlah pegawai dan anggota TLDM yang terlibat di dalam eksesais RIMPAC itu berkata KD Lekiu akan menyertai RIMPAC selama tiga bulan termasuk tempoh pelayaran. RIMPAC turut melibatkan jumlah penyertaan sebanyak 27 buah negara lain.
“Eksesais ini menyaksikan penyertaan sebanyak 51 buah kapal dan lima buah kapal selam dari 16 buah negara yang telah mengesahkan penyertaan dalam eksesais berkenaan,” katanya kepada Bernama sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Ahmad Kamarulzaman berkata TLDM sebelum ini pernah terlibat dalam eksesais RIMPAC tetapi sebagai pemerhati dan pada tahun ini, buat pertama kalinya TLDM bakal menghantar kapal Frigate bagi menyertai eksesais dwi tahunan itu.
“Secara langsung ini menunjukkan komitmen TLDM kearah memperkasakan diplomasi pertahanan dan meningkatkan kebolehoperasian aset negara ke tahap profesionalisme yang tinggi,” katanya.
Ahmad Kamarulzaman berkata penyertaan TLDM juga ke arah memperkasakan kerjasama pertahanan yang secara langsung akan menyumbang ke arah keselamatan maritim serantau dan di peringkat global.
Acara di MITEC itu menghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 perwakilan dari 45 negara, antaranya Korea Selatan, China, Jepun, Australia, Pakistan, Rusia dan Indonesia.
Pameran empat hari bermula Isnin lepas itu dijangka menarik kunjungan 40,000 pelawat dan menjadi platform bagi pengurusan pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea, sambil memberi peluang kepada peserta industri memasarkan produk mereka. – BERNAMA