SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia sebelum ini beberapa kali menjadi perhatian apabila timbul isu berkaitan kualiti perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan dianggap tidak memuaskan ramai orang.
Terbaharu, pengacara terkenal, Datuk AC Mizal turut menyampaikan rasa tidak puas hatinya kepada AirAsia selepas bagasinya rosak ketika menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
Baca: AC Mizal Bengang Dengan AirAsia Bahana Bagasi Rosak
AC meluahkan rasa kecewanya menerusi satu rakaman video yang dikongsikan ke laman media sosial miliknya mempersoalkan kualiti servis yang ditawarkan syarikat berkenaan.
Perkongsian dibuat AC di laman Facebooknya itu kemudian mendapat perhatian netizen yang turut sama mengecam syarikat penerbangan berkenaan dan beberapa dari mereka juga mengakui pernah mengalami nasib sama.
Sedar akan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, tampil menerusi laman Facebook dengan melakukan video Live menjelaskan situasi yang terjadi itu.
Jelas Tony, AC sepatutnya berhubung dengan dirinya dahulu sebelum membincangkan mengenai perkara itu.
Ujarnya, kejadian berlaku itu bukanlah berpunca daripada kecuaian pekerja AirAsia sebaliknya disebabkan sistem pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang reka bentuknya sedikit curam.
“Sepatutnya dia menghubungi saya mengenai perkata ini. Kejadian tersebut bukanlah salah pekerja kami tapi sistem beg di KLIA2 yang curam.
“Kami sudah berbincang dengan pihak KLIA2 untuk menyelesaikan isu tersebut,” kata Tony di dalam video tersebut.
Oleh kerana sistem beg di KLIA2 yang sebegitu, segelintir bagasi yang melalui kawasan itu akan meluncur dengan laju dan menyebabkan impak yang kuat terhadap bagasi sekali gus boleh menyebabkan kerosakan.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa kesal tindakan selebriti popular itu yang memuat naik video di media sosial untuk menyalahkan pekerja-pekerjanya.
“Terus menyalahkan pekerja kami adalah salah dan dia sepatutnya lebih tahu sebagai seorang selebriti. Periksa dahulu.
“Bagaimanapun, pihak kami turut menyiasat perkara ini dengan pekerja yang terlibat dan lihat bagaimana boleh membantu dia (AC),” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi AirAsia, Aziz Laikar turut memuat naik satu video di laman Facebooknya menunjukkan sistem beg di KLIA2 yang curam yang boleh menyebabkan kerosakan pada bagasi.
“Inilah yang dimaksudkan CEO kami apabila dia bercakap mengenai sistem beg dalam video di Facebooknya.
“Ramai orang telah mengalami situasi di mana bagasi mereka rosak disebabkan perkara ini, termasuklah AC Mizal.
“Untuk pengetahuan, sistem pengendalian bagasi di KLIA2 dikendalikan oleh pihak Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), bukan syarikat penerbangan macam AirAsia,” tulisnya.
Bagus juga isu ini terjadi, setidaknya kini orang ramai lebih tahu bahawa kerosakan bagasi ini bukan sahaja disebabkan oleh kecuaian pekerja, sebaliknya sistem pengendalian bagasi yang tidak direka bentuk dengan baik juga boleh menjadi punca perkara ini berlaku. – MYNEWSHUB.CC/EZ