MUNGKINKAH tsunami Melayu akan berlaku dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang?Tidak mungkin, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan nada amat yakin.
Bercakap kepada sekumpulan editor kanan di pejabatnya di Putrajaya semalam dengan jangkaan PRU diadakan tidak lama lagi beliau berkata: “Saya tidak nampak tsunami Melayu akan berlaku. Ia bermaksud UMNO ditolak!
“Saya tidak nampak (itu akan berlaku). Kami telah mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil sebagai satu ujian serta penilaian terhadap perasaan (orang Melayu) di peringkat akar umbi. Saya tidak nampak tsunami Melayu.”
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, yang telah melawat beberapa buah negeri menjelangnya PRU ke-14 bahkan berkata mood dan sentimen dalam kalangan rakyat adalah bagus dan ia lebih baik berbanding PRU ke-13 lepas.
“Saya tidak nampak mood untuk (rakyat) menukar kerajaan,” katanya merujuk PRU sebelum ini yang menyaksikan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan selain Terengganu, Perak dan Kedah pernah dikuasai pihak pembangkang
Ketika ditanya mood pengundi Cina sebelum PRU kelak, Najib berkata ia agak sukar untuk menyatakannya sekarang memandangkan kecenderungan mereka untuk mengundi hanya akan lebih jelas pada saat-saat akhir.
“MCA menyatakan pengundi Cina akan kembali (kepada BN), ada orang yang mengatakan tidak. Bagi pengundi Cina, anda hanya dapat mengesan (corak pengundian) pada saat akhir kerana mereka adalah pengundi berstrategi.
“Mereka mengundi berdasarkan pertimbangan tertentu. Jadi, kita belum dapat pasti lagi. Tiada siapa yang tahu secara pasti,” katanya sebagai mengulas sokongan kaum itu yang terbukti ketika Pilihan Raya Sarawak pada 2016.
Bagaimanapun, Najib menekankan bahawa komuniti Cina waima hanya etnik minoriti tetap akan mendapat layanan lebih baik dengan BN terutamanya dari segi mempunyai perwakilan yang lebih kuat dalam pentadbiran kerajaan.
“Saya tidak boleh terus memberi empat atau lima (jawatan) menteri dalam Kabinet Persekutuan jika mereka (masyarakat Cina) tidak mahu menyokong BN. Oleh itu, mereka (pengundi Cina) perlu membuat pilihan betul.
“Jika negara kita terus makmur, begitu juga orang Cina. Jika kita maju dengan lebih kukuh dari segi ekonomi, masyarakat Cina di negara ini juga akan mendapat manfaat,” kata beliau merujuk pertumbuhan ekonomi negara.
Mengenai Parti Warisan Sabah yang dipimpin bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Najib berkata parti itu tidak cukup kuat untuk mewujudkan tsunami politik di Sabah. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA