TUMPAT – Tumpat telah dijadikan sebagai Jajahan Satelit bagi bandar Kota Bharu menjadikan daerah ini mampu menampung sebahagian penduduk dari bandar tersebut yang jaraknya hanya merentasi sungai Kelantan.
Secara langsung ia meningkat penambahan penduduk berpendapatan tinggi yang mencari rezeki di bandar Kota Bharu tetapi menetap di daerah ini.
Sekali gus menepis persepsi umum terhadap jajahan Tumpat yang dikatakan sebagai jajahan termiskin di negeri Kelantan.
Dengan pertambahan penduduk yang berpendapatan tetap dan tinggi telah menarik minat syarikat melabur di daerah ini apabila sejak akhir-akhir ini banyak pasaraya dibuka.
Menerusi kewujudan bandar baharu dikenali Bandar Bentara, pertumbuhan ekonomi di sini bertambah pesat setelah bandar ini dilengkapi kemudahan seperti Pasar Sumayyah, pasar raya Pantai Timur dan lot-lot kedai menjadikan bandar ini ‘hidup’.
Tumpat Didominasi Pas
Dari politiknya, Parlimen Tumpat ini mempunyai empat Dun iaitu Dun Pasir Pekan, Dun Wakaf Bharu, Dun Pengkalan Kubor dan Dun Kelaboran.
Parlimen Tumpat didominasikan Pas apabila kerusi Parlimen Tumpat dan tiga kerusi Dun dimenangi parti tersebut.
Untuk kerusi Wakaf Bharu diwakili Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Dun Pasir Pekan diwakili Datuk Ahmad Yakob, Dun Kelaboran diwakili Mohd Zaki Ibrahim dan Dun Pengkalan Kubor satu-satunya Dun dimenangi BN diwakili Mat Razi Mat Ail menjadi wakil rakyat disini melalui PRK Dun Pengkalan Kubor 2014.
Dari segi pembangunan, bidang pendidikan menjadi keutamaan apabila Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mula dibuka di sini pada tahun 2010.
Terletak di Kampung Tujoh, MRSM ini antara pembangunan daripada kerajaan pusat di Dun Pengkalan Kubor ketika era Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang membawa perubahan di Pengkalan Kubor sejak menjadi wakil rakyat pada tahun 2004.
Di era beliau juga, dibuka tiga perpustakaan Desa di Bunohan, Kampung Ketil dan Telaga Bata serta dalam sektor pelancongan apabila bangunkan Pantai Geting dengan menyediakan kemudahan seperti tandas, taman permainan kanak-kanak dan gerai jualan. – SINAR HARIAN
*Video sekadar hiasan…