NAMPAKNYA pelakon, Izreen Azminda sekali lagi mencuri perhatian umum. Meskipun hebat dikecam dan dianggap ‘menjijikkan’, namun pelakon wanita ini kelihatan tenang menjalani kehidupan seperti biasa.
Baru-baru ini, Izreen telah memuat naik gambar dan video memaparkan ucapan yang ditujukan khas buat suami tercinta iaitu Ude atau nama sebenarnya Muhammad Radzi Abdul Wahid. Difahamkan, ucapan tersebut bersempena ulang tahun pemuda itu yang ke-30.
Izreen menerusi status dalam akaun Instagram tersebut mengucapkan terima kasih dan berjanji akan sentiasa menjadi peneman yang setia hingga ke hujung nyawa jika diizinkan Allah.
“Buat lelaki yang aku kasihi, selamat ulang tahun kelahiran yang ke 30, semoga diluaskan pintu rezeki, dilimpahi kebahagiaan dalam kehidupan. Diberi kesihatan yang baik dan sentiasa di bawah lindunganNya.
“Aku di sini akan sentiasa sebagai peneman, mengakhiri sebuah kehidupan jika Allah mengizinkan,” tulis Izreen menerusi entri tersebut.
Malah, Izreen turut sempat menitipkan kata-kata semangat kepada suaminya itu bahawa apa yang sudah terjadi itulah takdir dan apa yang akan datang adalah pilihan bagi setiap orang.
“Hidup ini penuh dengan kejutan yang tidak dapat kita bayangkan dan Tuhan itu adil pada setiap insan. Tidak hari ini esok, lusa dia hadiahkan apa yang perlu cuma kesabaran.
“Jangan sesekali kau salahkan Tuhan untuk apa yang telah direncanakan kerana setiap manusia punya ujian bagi menguji sebuah keimanan. Lapangkan dada buang tekanan agar kehiduapn sentiasa aman,” ujar Izreen lagi.
Kata-kata manis ‘bersemut’ itu mendapat perhatian dalam kalangan netizen di Instagram dan telah ditonton oleh lebih 60,000 kali sejak ia dimuat naik pada malam Isnin.
Pun begitu, semakan tinjauan Mynewshub mendapati kedua-dua mereka masih menutup ruangan komen di akaun Instagram masing-masing.
Nama Izreen mula menjadi sebutan ramai selepas berita perkahwinannya dengan ahli muzik, Ude yang sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak tersebar meluas.
Susulan hal itu, pelbagai tohmahan dan hinaan telah dilemparkan kepada pelakon wanita ini oleh netizen kerana dianggap sebagai ‘perampas’ suami orang. – MYNEWSHUB.CC/AM