POLIS Kanada mendedahkan bahawa Alek Minassian memuat naik mesej misteri di laman sosial, sebelum menyerang sekumpulan pejalan kaki di bandar raya Toronto, yang mengorbankan 10 mangsa, manakala 15 lagi cedera.
Minassian, 25, sudah didakwa di sebuah mahkamah, semalam atas 10 tuduhan membunuh dan 13 cubaan membunuh.
Facebook mengesahkan Minassian memuat naik mesej yang merujuk kepada ‘pemberontakan’ sebelum insiden itu berlaku, sekali gus memberi petunjuk mengenai motif kejadian itu.
Istilah itu digunakan dalam beberapa mesej dalam talian, terutama dalam kalangan kaum lelaki yang menganggap wanita sebagai punca mereka masih belum berkahwin.
Namun, pihak berkuasa Kanada enggan mengulas lanjut sama ada rasa marah terhadap wanita, mendorong suspek untuk bertindak demikian.
Selain itu, mesej berkenaan turut menyatakan kekaguman suspek terhadap lelaki yang membunuh enam pelajar kolej di California pada 2014 sebelum membunuh diri dan beliau dipetik berkata bahawa kekejaman wanita menjadi punca dia masih memegang status ‘dara’.
“Tertuduh didakwa memuat naik mesej misteri di Facebook beberapa minit sebelum serangan.
“Sebahagian besar mangsa insiden terbabit adalah wanita yang berusia antara pertengahan 20-an hingga awal 80-an,” kata jurucakap polis Toronto, Graham Gibson pada sidang media, di sini. – Reuters/myMetro Online