GOLD COAST – Gandingan negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menebus kekecewaan mempertahankan pingat emas acara badminton beregu lelaki apabila meraih gangsa pada temasya Sukan Komanwel 2018, di sini hari ini.
V Shem-Wee Kiong memerlukan 23 minit untuk menewaskan beregu Sri Lanka, Sachin Dias-Buwaneka Goonethilleka 21-8, 21-13 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Carrara Sports and Leisure Centre di sini.
“Sasaran kami adalah untuk mendapatkan pingat emas tapi nasib kurang baik, kami cuma dapat pingat gangsa. Tapi kami puas hati dengan apa yang kami dapat sebab kami sudah cuba yang terbaik,” kata V Shem.
Semalam, gandingan pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terkandas di peringkat separuh akhir selepas kalah mengejut kepada beregu England, Marcus Ellis-Chris Langridge 21-15, 16-21, 15-21.
Dengan kekalahan itu, bermakna gandingan negara gagal mempertahankan emas yang dimenangi dalam acara beregu lelaki sejak tahun 1990 menerusi Jalani Sidek-Razif Sidek.
Untuk rekod, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang meraih pingat emas pada 1994, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada tahun 1998, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002), Chan Chong Ming-Koo Kien Keat (2006), Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010) dan V Shem-Wee Kiong (2014). – BERNAMA