RAKAMAN video menunjukkan tentera Israel bersorak kegembiraan selepas menembak mati seorang penunjuk perasaan Palestin di Gaza, menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Lapor Daily Mail, kejadian itu berlaku pada 22 Disember tahun lalu di Kissufim, berhampiran Semenanjung Gaza, yang dirakam oleh anggota tentera Israel sendiri dari perakam video yang dilekatkan pada senjata mereka.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berhubung kejadian itu, warga Palestin yang ditembak dalam video tersebut cedera di bahagian kaki.
Sebelum itu, anggota-anggota tentera rejim terbabit berbincang sama ada mahu melepaskan tembakan terhadap salah seorang penunjuk perasaan yang berada di sebelah pagar sempadan kawasan itu.
Tidak berapa lama kemudian, askar Zionis Israel tersebut melepaskan tembakan pada seorang lelaki Palestin menyebabkan mangsa terus rebah ke tanah.
“Whoaa! Terbaiklah video! Ya! Dasar anak celaka!” kata suara yang dipercayai milik tentera yang menembak mangsa yang ditutur dalam bahasa Hebrew.
Dalam video itu juga, tentera terbabit juga dengan bangga berkata dia berjaya menembak kepala mangsa, bercanggah dengan kenyataan rasmi IDF yang mendakwa mangsa ditembak di bahagian kaki.
Sejurus selepas tembakan itu, sekumpulan penunjuk perasaan Palestin segera datang untuk membawa dan memberi bantuan kepada mangsa.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman berkata, tentera yang menembak warga Palestin itu wajar diberikan pingat, tetapi menegaskan individu yang merakam video kejadian itu perlu dikenakan tindakan.
Tambah portal berkenaan, lelaki Palestin yang ditembak itu dipercayai menganjurkan rusuhan yang membabitkan penunjuk perasaan membaling batu dan cuba mensabotaj pagar keselamatan.
Ekoran itu, anggota tentera Israel membidik dan menembak lelaki terbabit selepas mangsa gagal berundur selepas diberikan amaran awal.
Dalam kenyataan itu juga, Tentera Israel juga menegaskan video tular berkenaan konon dirakam anggota dari unit lain. – MYNEWSHUB.CC