IMPHAL – Seorang lelaki di India yang hilang selama 40 tahun akhirnya bertemu semula dengan keluarganya, semalam selepas videonya menyanyikan lagu popular Bollywood di YouTube menjadi tular.
Khomdram Gambhir Singh, 66, disambut tangisan gembira keluarganya di Imphal di negeri timur laut Manipur yang ditinggalkannya selepas berpisah dengan isterinya pada 1978.
“Saya pernah cuba untuk kembali ke rumah. Tetapi, saya tiada banyak pilihan,” kata Singh.
Selepas empat dekad, keluarga Singh akhirnya berjaya menjejaki lelaki itu selepas sebuah persatuan tempatan di Imphal memaklumkan tentang rakaman video di YouTube.
Menurut Singh, dia melakukan pelbagai kerja untuk meneruskan hidup di Mumbai.
Dia bagaimanapun enggan menjelaskan kenapa tidak pernah cuba menghubungi keluarganya.
“Kami tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya kami dengan pertemuan semula ini. Saya ada bermimpi tentang perkara yang baik dan apabila saya bangun keesokan harinya seseorang datang ke rumah kami dan memberi berita gembira tentang abang saya.
“Mimpi saya menjadi realiti,” kata adik bongsunya, Kulachandra Singh. – AFP