SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg menegaskan sekali lagi bahawa Turki tetap sebuah ahli penting kepada pertubuhan pakatan pertahanan itu.
Katanya, melihat kedudukan Turki dalam peta sudah cukup untuk memahami nilai negara itu kepada infrastruktur pertahanan yang menunjangi hubungan Amerika Syarikat dengan Eropah itu.
Stoltenberg menyatakan demikian kepada sekumpulan wartawan Turki di Brussels pada 27 April lalu, menyusuli satu pertemuan peringkat tinggi NATO.
Turki kini berdepan kritikan hebat daripada media dan negara-negara Barat, ekoran sikap Presiden Recep Tayyip Erdogan yang dianggap autoritarian dan semakin kuat menyekat kebebasan.
Ankara juga dilihat semakin mendekati Rusia dan Iran sejak kebelakangan ini, dua negara yang tidak disenangi oleh Barat yang bersekutu dengan AS.
“Turki ialah sekutu yang amat dihargai. Turki penting kepada keselamatan bersama kita, terutama dalam perang menentang terorisme yang Turki menyumbang melalui penyediaan infrastruktur asas bagi pakatan global menewaskan ISIS.
“Kami berterima kasih pada Turki untuk itu,” tegas Stoltenberg.
“Kita dapat lihat pentingnya Turki melalui kedudukanya dalam peta, yang bersempadan dengan Iraq dan Syria, bersempadan dengan kekacauan dan keganasan yang mengancam keselamatan Turki dan sekutu NATO lain,” tambahnya, sebagai respons kepada soalan berhubung kerjasama rapat antara Turki dengan Rusia dan Iran di Syria.
Turki, menurut Stoltenberg, berperanan penting dalam perang menentang terorisme dan menyumbang kepada banyak misi dan operasi NATO, sambil menekankan Ankara ialah sebahagian pembuat keputusan.
Kenyataan Stoltenberg ini dilihat sebagai satu langkah diplomasi untuk memastikan hubungan baik kekal antara Turki dengan NATO, dan Turki tidak mengambil langkah drastik mengurangkan hubungan dengan NATO pada masa sama meningkatkan kerjasama dengan Rusia dan Iran.
Presiden Erdogan pada kemuncak operasi ketenteraan Turki di wilayah Syria bersempadan Turki melahirkan kekesalan terhadap AS yang didakwa tidak membantu mereka dalam berdepan dengan militia Kurdi.
Erdogan mendakwa AS tidak membekalkan senjata yang secukupnya dalam operasin ketenteraan terhadap militia Kurdi Syria yang dianggap sebahagian Parti Pekerja Kurdistan (PKK) Turki, pertubuhan dilabel pengganas oleh Ankara.
Malah, menurut Erdogan lagi, AS berhubungan baik dengan kumpulan bersenjata Kurdi itu dan hubungan ini menjejaskan kepercayaan Turki pada AS.
Menurut setiausaha agung NATO itu lagi, Turki berperanan penting dalam misi di Afghanistan, menyediakan profesional dan tentera di lapangan.
Pada masa yang sama, beliau juga menerangkan yang NATO turut berperanan dalam keselamatan Turki melalui operasi sistem pertahanan udara yang dibekalkan oleh Sepanyol dan Itali.
“Turki menyediakan keupayaan untuk NATO dan NATO juga menyediakan sokongan untuk Turki. Inilah cara NATO berfungsi,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc