KUALA LUMPUR – Seorang wanita didakwa di tiga Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini, atas lima pertuduhan menipu urusan jual beli jam tangan dan cincin berlian berjumlah lebih RM200,000.
Lau Yin Ling Inez, 27, yang tidak bekerja, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som, Maizatul Munirah Abdul Rahman dan Siti Radziah Kamarudin.
Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa memperdayakan Jonathan Lourdes, 30, dengan mendorong mangsa menyerahkan dua utas jam tangan berjenama Breitling dan Tag Heuer bernilai RM37,000 menggunakan transaksi pembayaran dipercayai palsu di Midvalley di sini, pada 1.35 petang, 12 Mac lalu.
Wanita itu juga dituduh menipu Rosilah Subari, 46, dengan memperdayakannya melalui urusan pembelian dua cincin berlian sehingga mangsa mempercayai bahawa tertuduh membuat pindahan wang RM26,900 ke dalam akaun Maybank, dan mendorong mangsa menyerahkan dua bentuk cincin berlian yang mana mangsa tidak akan menyerahkan barang kemas itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di St Mary Resident, Jalan Tengah di sini, pada 12.10 tengah hari, 3 Mac lepas.
Tertuduh juga didakwa menipu Retheuwan Wan Chik, 79, dengan menunjukkan satu resit pembayaran HSBC yang mana nombor resit itu tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan seutas jam tangan jenama Rolex dan koleksi syiling Royal Wedding di Mac Cafe Intermark PU3, Jalan Tun Razak di sini, pada 7 Februari lalu.
Dia juga dituduh menipu Lau Chew Weng, 33, dengan memperdayakan mangsa sehingga mempercayai bahawa tertuduh ingin membeli jam tangan bernilai RM80,000 menggunakan transaksi pembayaran dipercayai palsu sehingga mendorong mangsa menyerahkan satu utas jam tangan kepadanya di Bangsar South Camille Service Resident, di Brickfields pada 11.30 pagi 10 Januari lepas.
Bagi pertuduhan kelima, dia didakwa menipu Aida Othman, 38, dengan memperdayakan mangsa sehingga mempercayai bahawa tertuduh berminat membeli seutas jam tangan jenama Rolex Oyster Perpetual bernilai RM59,000 menggunakan transaksi pembayaran dipercayai palsu dan dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan jam tangan itu kepada tertuduh di Restoran Decanter di Brickfields, 7 petang 4 Februari lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farah Adilah Noordin, Amirul Asyraf Abdul Rasid dan K. Vasugi manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 17, 18 dan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA