DEMI memastikan anak tidak terabai dalam pelajaran, sepasang ibu bapa warga emas sanggup berbasikal sejauh 11 kilometer menghantar anak mereka setiap hari ke sebuah sekolah di Indonesia.
Lapor akhbar tempatan, Hernowo, 60, dan isterinya Kamilah, 61, dari Dusun Anjir, hanya mempunyai seorang anak Wahyu Heri Setiyawan, 13 yang menghidap Down Syndrome.
Terlalu sayang pada anak, sepasang warga emas rela menunggu anaknya hingga tamat sesi persekolahan pada jam 12 tengah hari.
Bermula seawal jam enam pagi, Hernowo dan Kamilah menuju ke sekolah Wahyu yang terletak di SLB N 1 Kulon Progo, Desa Gotakan, Kecamatan Panjatan dengan menempuh laluan gelap dan laluan berbukit yang mengambil masa selama dua jam pergi dan balik.
Punca rezeki pasangan itu adalah mencari daun pisang dan menjualnya di warung berhampiran selepas pulang ke rumah dan menguruskan Wahyu.
Bagi sepasang suami isteri tersebut, mereka tidak akan membiarkan Wahyu keciciran walaupun rezeki yang diperolehnya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Pengorbanan ibu dan ayah sangat tidak ternilai bagi membesarkan anak mereka. Lantas, anak-anak pula perlu mengambil berat setiap inci perihal ibu dan ayah serta membalas jasa-jasa mereka apabila sudah dewasa. – MYNEWSHUB.CC/MIZE