TERAJU utama drama ‘Duda Pujaan Dara’ iaitu Zahirah Macwilson mengakui tidak kisah digandingkan dengan darah daging sendiri dalam drama mahupun filem.
Kata Zahirah, dia sentiasa bersikap professional dan tidak berasa janggal beraksi dengan dengan bapanya, Zainol Macwilson dalam drama berjudul Tak Ada Cinta Sepertimu.
Jelasnya, sejak daripada awal pembabitan dalam lakonan dia mempunyai impian untuk disatukan dalam mana-mana karya bersama bapa kesayangannya yang kini sudah mencecah usia 59 tahun.
“Mungkin ada yang rasa janggal atau malu berlakon dengan darah daging sendiri. Saya pula sebaliknya. Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana dapat berlakon dengan ayah.
“Ini memudahkan saya menjiwai watak Athea. Ayah sering menyuntik semangat dan emosi terhadap karakter dibawa,” kata Zahirah dipetik BH Online.
Tambah Zahirah, drama lakonannya kali ini banyak ‘bermain’ dengan air mata serta menyentuh jiwa dan bapanya adalah insan yang banyak membantu ketika proses penggambaran.
“Ada satu babak di mana saya sukar menangis namun, ketika ayah pandang mata saya dan beri kata-kata semangat, air mata mengalir dan proses penggambaran lancar,” ujar graduan Universiti Curtin, Perth, Australia itu .
Disatukan dalam drama buat pertama kali, Zahirah mengaku amat selesa berlakon dengan bapa sendiri kerana dia bebas untuk mencium dan memeluknya.
Malah bagi Zahirah, peluang berlakon bersama bapa sendiri sememangnya akan menjadi salah satu kenangan terindah dalam hidupnya.
Difahamkan, Zahirah dan Zainol memegang watak sebagai anak dan bapa dalam drama tersebut yang pertama kali menggandingkan dirinya dengan pelakon popular, Syafiq Kyle. – MYNEWSHUB.CC/AM