ANTARA individu yang paling lega hubungan cinta dua selebriti, Zul Ariffin dan Zahirah Macwilson terlerai tentunya adalah bapa kepada aktres tersebut, Zainol Macwilson.
Jelas Zainol, hubungan pasangan tersebut yang betul-betul berakhir lebih sebulan yang lalu ternyata merupakan khabar baik buatnya.
Ujar pelakon berusia 59 tahun itu, dia sudah menjangkakan perhubungan tersebut tidak mempunyai hala tuju ke arah perkahwinan dan akan berakhir jua pada bila-bila masa.
Malah, Zainol juga berpendapat Zul bukanlah lelaki yang sesuai untuk anaknya itu dan tidak pernah merestui hubungan mereka.
“Alhamdulillah, saya rasa lega sekarang mereka sudah benar-benar putus. Dari pertemuan pertama lagi saya sudah dapat rasakan dia bukan seorang yang layak untuk Zahirah.
“Saya tidak restu hubungan mereka dan jangan sebut pasal kahwin pun, minta dijauhkan,” ujar Zainol memetik mStar Online.
Zainol berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai putusnya hubungan cinta di antara Zul dan Zahirah yang telah berputik sejak tiga tahun lalu.
Tambah Zainol, hubungan antara anak sulungnya itu dengan aktor berkenaan tidak sepatutnya terjalin memandangkan dia kurang senang dengan kelakuan Zul sejak dari awal pertemuan mereka.
Namun, dia terpaksa akur dengan pilihan Zahirah yang mahu terus berkawan rapat dengan pelakon filem Tombiruo dan J Revolusi itu.
“Kali pertama Zahirah bawa saya bertemu Zul pada tahun 2015 dan ketika itu saya tidak bersalam dengannya kerana saya dapat tahu dia bersikap kurang ajar dengan ibu Zahirah.
“Jadi sepatutnya dari situ dia (Zul) tahu dan tidak meneruskan hubungan. Dia tahu saya tidak suka dan dalam tempoh itu juga dia tidak berusaha pun untuk berbaik atau menunjukkan usaha perbaiki hubungan,” jelasnya.
Sebelum ini, Zainol juga pernah beberapa kali mengeluarkan kenyataan tidak merestui hubungan mereka selain turut berinteraksi bersama beberapa pengikutnya di laman Instagram seolah-olah menyindir Zul.
Disebabkan perkara itu, Zainol mendedahkan bahawa Zul pernah menghubunginya menerusi telefon milik Zahirah bagi mempersoalkan tindakannya serta meminta penjelasan berkaitan kenyataan yang dikeluarkan Zainol kepada pihak media.
Mengulas pula mengenai dakwaan Zul berkenaan sikap Zahirah yang tidak sopan berswafoto berdekatan jenazah ibunya, Zainol berkata perkara itu tidak mungkin berlaku memandangkan dia sudah mendidik Zahirah budaya orang timur sejak kecil lagi.
“Itu fitnah, Zahirah juga menafikan ada bergambar seperti didakwa. Walaupun dibesarkan di luar negara, dia masih tahu adab dan budaya yang kena hormat.
“Saya rasa Zul tiada modal untuk bercakap sehingga menjadikan perkara itu sebagai topik,” ujarnya.
Sementara itu, Zainol turut berharap anaknya itu kini tabah dan menjalani kehidupan seperti biasa selepas terlerainya hubungan itu.
Ujarnya, umur Zahirah yang masih muda dan mempunyai bakat besar dalam bidang lakonan sepatutnya digunakan sebaiknya bagi memperkukuhkan lagi nama dalam industri hiburan tempatan. – MYNEWSHUB.CC/EZ