BAGAN SERAI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) meminta zoo di negara ini mengubah konsep atau pameran sebagai usaha menjadikan zoo bertaraf dunia seperti di negara lain.
Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata sudah sampai masanya zoo di negara ini tidak hanya sebagai destinasi pelancongan semata-mata yang mengejar kehadiran pelancong yang tinggi dan mementingkan keuntungan.
Beliau mengambil contoh beberapa zoo terkenal bertaraf dunia seperti di Thailand (Zoo Khao Kheow) dan Singapura yang mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengunjung.
“Kita harap konsep zoo hendaklah berubah kerana selain meningkatkan ekonomi ia juga memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk.
“Zoo juga berfungsi sebagai pusat konservasi, penyelidikan, pendidikan dan latihan mengendali hidupan liar,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perhilitan dengan Bukit Merah Resort Sdn Bhd di Ecopark Bukit Merah Laketown di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Abdul Kadir yang mewakili Perhilitan manakala Bukit Merah Resort Sdn Bhd diwakili pengarahnya Chin Kok Siong.
MoU itu adalah bagi menggalakkan dan membangunkan kerjasama dalam program penempatan hidupan liar serta meningkatkan peluang kerjasama melalui latihan kakitangan dalam bidang penjagaan, pembiakan dan pemuliharan hidupan liar.
Taman Ecopark mula beroperasi pada 1999 di kawasan seluas 1.6 hektar mempunyai 30 spesies haiwan.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata terdapat 32 zoo yang beroperasi di negara ini dengan sembilan daripadanya telah menandatangani program konservasi hidupan liar.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau mengingatkan mana-mana pihak yang bercadang mahu menubuhkan zoo atau pameran supaya berhubung dengan Perhilitan terlebih dahulu.
Katanya, ini adalah untuk menjaga kebajikan hidupan liar di bawah pengendalian masing-masing dan sentiasa mematuhi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar. – BERNAMA