KLANG – Tujuh muka baharu adalah antara 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini hari ini.
Mereka adalah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha; ADUN Seri Setia, Dr. Shaharuddin Badaruddin dan ADUN Kajang, Hee Loy Sian, ketiga-tiganya dari PKR.
ADUN Kinrara, Ng Sze Han dari DAP; ADUN Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud dan ADUN Pandan Indah, Ir. Izham Hashim, kedua-duanya dari Parti Amanah Negara serta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Selangor yang juga ADUN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Turut berangkat mengiringi Sultan Sharafuddin pada istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar akujanji serta pengurniaan surat cara pelantikan anggota Exco itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Sementara itu, tiga muka lama yang turut mengangkat sumpah jawatan Exco hari ini merupakan mereka yang telah berkhidmat pada penggal sebelum ini.
Ketiga-tiga muka lama itu ialah ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim dan ADUN Kota Kemuning, V.Ganabatirau, kedua-duanya dari DAP serta ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari dari PKR.
Istiadat angkat sumpah itu yang disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah pada pukul 3 petang.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya. – BERNAMA