NIBONG TEBAL – Lebih 1,000 pembeli projek perumahan Taman Halaman Indah, Jawi di sini menarik nafas lega kerana mereka bakal menduduki rumah berkenaan tidak lama lagi, setelah tertangguh selama enam tahun.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan menjalankan pemeriksaan terakhir pada 31 Mei ini sebelum Sijil Layak Menduduki (CCC) dikeluarkan dan kunci rumah diserahkan kepada pembeli.
“Projek ini sudah tertangguh sangat lama. Perkara ini menyebabkan pembeli risau. Selepas mengadakan perbincangan dengan wakil pemaju dan pembeli, Insya-Allah pada 31 Mei ini pihak MPSP akan buat pemeriksaan akhir,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Zuraida mengadakan perbincangan dengan wakil pemaju dan pembeli selama dua jam bagi menyelesaikan beberapa isu berbangkit.
Projek perumahan Taman Halaman Indah itu mempunyai 1,138 unit rumah teres termasuk 460 unit rumah kos rendah dan 70 unit komersil berharga antara RM42,000 dan RM250,000.
Projek itu, yang sepatutnya siap pada 2012, lewat disiapkan berikutan beberapa isu termasuk masalah tukar tangan pemaju, masalah tanah dan kewangan.
Zuraida berkata dalam perbincangan itu, pihak pemaju bersetuju untuk membayar denda lewat serah projek (LAD) kepada pembeli.
Beliau berkata sebanyak 170 permohonan bagi rumah kos rendah projek perumahan itu diluluskan manakala baki 290 permohonan akan disemak semula kelayakan mereka.
“Kami juga akan kecualikan bayaran guaman kepada pembeli untuk memudahkan mereka menyelesaikan pembayaran akhir, duti setem dan sebagainya. Selepas selesai semua itu, mereka boleh dapat kunci,” katanya.
Sementara itu, penasihat persatuan pembeli projek perumahan itu, Mohd Fairuz Abdul Razak, 35, berkata pelbagai usaha dibuat bagi membolehkan projek perumahan itu siap sepenuhnya dan pembeli boleh menduduki rumah berkenaan berikutan ada kalangan mereka sudah membuat pembayaran.
“Projek perumahan ini bukan tak siap, sebenarnya sudah siap tetapi tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water.
“Projek ini sakit atau tertangguh selama lima hingga enam tahun, memberi beban kepada pembeli. Pembeli sepatutnya mendapat hak mereka dari segi pampasan kelewatan, rumah yang berkualiti,” katanya. – BERNAMA