KUCHING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan asing bersama 47 kru warga Vietnam yang didapati menyamar sebagai bot kargo tempatan kira-kira 170 batu nautika dari Tanjung Po di sini, Rabu lepas.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sarawak Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata bot One United 5 dan One United 37, ditahan selepas diperiksa oleh APMM yang sedang meronda di kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 6 petang.
Beliau berkata semua kru berumur antara 23 dan 37 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah selain tidak memiliki kebenaran bertulis untuk menangkap ikan dalam kawasan perairan negara.
“Nilai rampasan dianggar kira-kira RM4.5 juta, termasuk dua bot berkenaan, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan pelbagai jenis yang dianggar seberat lapan tan. Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) Muara Tebas kira-kira 30km dari sini hari ini.
Shahref berkata pihak berkuasa akan menyiasat sebuah syarikat tempatan yang didaftar di Wilayah Persekutuan Labuan, selepas pemeriksaan mendapati bot-bot itu memiliki dokumen sebagai bot kargo tempatan milik syarikat berkenaan, yang sebaliknya digunakan oleh nelayan asing untuk menangkap ikan dalam kawasan perairan negara. – BERNAMA