ALOR SETAR – Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) hari ini berjaya merampas 218 kilogram daun ketum bernilai RM19,620 yang cuba di seludup ke negara jiran berhampiran Pos Sahara, dekat Padang Terap.
Panglima 6 Briged, Brig. Jen. Abdul Aziz Ismail berkata, daun ketum itu dijumpai oleh pasukan Kumpulan Ronda daripada Batalion Ke-2 Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) di kawasan hutan berhampiran pos berkenaan kira- kira 11 pagi ini.
Katanya, daun ketum itu dipercayai ditinggalkan sementara sebelum diseludup masuk ke negara jiran oleh pihak lain.
“Pasukan berkenaan menemui sejumlah daun ketum yang diikat rapi di dalam tujuh guni putih dan di dalam dua bungkusan kain pelikat dan kain batik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya kesemua 450 ikat daun ketum itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut. – BERNAMA