IPOH – Tiga kawasan di Perak mengalami gangguan bekalan elektrik berikutan hujan lebat kira-kira pukul 2 petang tadi namun telah dibaik pulih oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Mohd Nazri Ismail berkata kawasan yang terlibat ialah Bagan Serai, Bukit Gantang dan di daerah Larut.
“TNB telah menyelesaikan masalah itu yang berpunca akibat ribut petir yang kuat. Ribut kuat menyebabkan elektrik terputus, suis Pemutus Litar Bocor ke Bumi iaitu ELCB tidak berfungsi, namun suis telah dinaikkan semula,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Berhubung isu kerusi roda yang tidak mencukupi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting, Taiping, Mohd Nazri berkata masalah tersebut telah diselesaikan.
“Kita sewa kira-kira 800 kerusi roda untuk kegunaan pengundi di seluruh Perak, namun sekiranya pengundi yang memang sedia mempunyai kerusi roda, kita galakkan mereka menggunakan kerusi roda mereka,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata peratusan mengundi di Perak mencecah 61.45 peratus atau 1,472,985 pengundi setakat 2 petang tadi.
“Proses pengundian berjalan lancar setakat ini, namun ada sesetengah kawasan hujan lebat dan ribut petir,” katanya.
Selain itu, beliau berkata masih terdapat pengundi yang masih keliru mengenai saluran pengundian mereka walaupun maklumat itu boleh diperolehi secara dalam talian.
“Setakat ini tiada kes kecemasan dilaporkan, tapi terdapat kes di mana pengundi tidak diberikan kertas undi kerana nama telah dipotong (daripada senarai pemilih),” katanya.
Mohd Nazri berkata berkemungkinan kad pengenalan pengundi telah disalah guna atau mungkin mereka telah memohon undi pos yang telah diluluskan namun hadir ke pusat mengundi kerana tidak mendapat kertas undi pos. – BERNAMA