HARI Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbaki seminggu sahaja lagi, masing-masing sibuk cari cara untuk pulang ke kampung dan masih ada lagi yang tidak tahu cara untuk balik mengundi.
Setakat ini sejumlah 30,000 tiket bas ekspres sudah dijual di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dengan ramai memilih pulang awal apabila hampir semua tiket sudah dijual seawal 5 Mei dan 87 peratus tiket pada 8 Mei.
Lapor akhbar tempatan, Pengurus Kanan Operasi TBS, Faizal Redza Redzuan berkata, kebanyakan tiket yang terjual bagi perjalanan ke destinasi di Pantai Timur dan utara tanah air.
“Buat masa ini jualan tiket amat menggalakkan hingga ada antara destinasi yang bilangan tiket semakin terhad dan hanya tinggal untuk perjalanan pada waktu malam.
“Justeru, saya menyeru kepada semua pengguna yang ingin guna perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung halaman supaya segera beli tiket masing-masing sebelum habis,” katanya hari ini.
TBS masih membuka 55 kaunter jualan tiket 24 jam setiap hari supaya orang ramai dapat membeli tiket pada bila-bila masa untuk ke destinasi pilihan mereka.
Tiket malah boleh dibeli menerusi secara talian di laman sesawang TBS iaitu www.tbsbts.com.my atau melalui perkhidmatan kios mesin jualan di TBS yang turut disediakan bagi memudahkan penumpang.
Menurut Faizal Redza lagi, sekiranya permintaan terhadap tiket bas sempena hari pengundian tahun ini meningkat, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan bas tambahan.
“Kami sedar masih ramai yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung dan akan meneliti dahulu jualan tiket sedia ada sebelum membuat keputusan.
“Sekiranya permintaan masih tinggi, kami mungkin akan menyediakan 20 hingga 30 buah bas tambahan setiap hari menjelang pengundian ini,” jelasnya.
Orang ramai bagaimanapun dinasihatkan untuk membeli tiket bas ekspres awal agar dapat pulang mengundi di kawasan masing-masing.
Bagi mereka yang membawa kenderaan sendiri, perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan merancang perjalannan sebaiknya. – MYNEWSHUB.CC/MIZE