Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Mayat Tanpa Kepala Di...

KUALA LUMPUR - Pasukan keselamatan Filipina menjumpai satu mayat tanpa kepala yang disyaki...

Korea Utara Lancar Peluru...

SEOUL: Korea Selatan mendakwa Pyongyang melancarkan peluru berpandu dari kapal selam, hari ini.Ikuti...

Gangguan Seksual: Guru Boleh...

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan tidak akan teragak-agak memecat seorang guru yang dikatakan...

Van Keselamatan Bawa RM4...

BAGAI aksi filem Hollywood, sebuah van keselamatan membawa wang tunai RM4 juta terbalik...

Ah Soon, Anak ‘Fuzhou’ Yang Ingin Majukan Yong Peng

BATU PAHAT – Yong Peng, sebuah pekan di sini, mungkin tidak sebegitu popular berbanding bandar berhampirannya, Ayer Hitam.

Terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar seramik itu, ramai yang tidak tahu Yong Peng didiami ramai kaum Cina berketurunan dari Fuzhou, China, sehingga ada yang menggelar pekan itu sebagai ‘Little Fuzhou’.

Dikatakan, orang Fuzhou atau Hockchew yang turut mendiami Sitiawan di Perak dan Sibu, Sarawak itu merupakan golongan rajin bekerja di kebun, merendah diri serta hidup secara bersatu padu.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan seorang anak ‘Fuzhou’, Ling Tian Soon, 34, bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng dengan harapan untuk membangunkan kawasan itu sekali gus berkhidmat kepada masyarakat pelbagai kaum.

Lebih dikenali sebagai ‘Ah Soon’, Ling berkata beliau aktif mengendalikan aktiviti kemasyarakatan sejak lapan tahun lepas di Yong Peng, apabila diberi peluang berkhidmat sebagai Pembantu dan Pegawai Khas kepada penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

“Walaupun berasal dari Tongkang Pechah, Batu Pahat, tidak timbul soal saya merupakan calon ‘bidan terjun’ atau ‘orang luar’ kerana saya tinggal di Yong Peng sejak lapan tahun ini dan juga berketurunan Fuzhou daripada sebelah bapa.

“Bagi anda, nama ini (Ah Soon) mungkin bukan nama yang hebat, namun, bagi saya, inilah saya. Saya mempunyai perancangan yang hebat untuk warga Yong Peng,” katanya yang ditemui Bernama, baru-baru ini.

Ling berkata dalam tempoh lapan tahun itu, beliau yakin ramai masyarakat sekitar mengenalinya kerana beliau bersama pasukan BN Ayer Hitam sering turun padang ke setiap pelosok Yong Peng yang turut merangkumi 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM), empat Kampung Baru Cina serta 30 kampung rangkaian di sekitar kawasan itu.

Dipilih sebagai Pengerusi MCA Bahagian Ayer Hitam pada 2013 iaitu pada usia 29 tahun sekali gus menjadikan beliau sebagai Pengerusi MCA Bahagian paling muda dalam negara, Ling berkata banyak isu setempat berjaya diselesaikan kerajaan BN di Yong Peng dan pelbagai agenda seterusnya sudah dirancang sekiranya masyarakat memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat.

Antara isu yang sudah diselesaikan ialah pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu di pekan Yong Peng bernilai RM18.7 juta menggantikan klinik lama berusia 40 tahun, mengatasi masalah banjir kilat di Taman Jelita dengan membaiki sistem perparitan melibatkan kos RM6.4 juta serta membersihkan saliran sungai di sepanjang Jalan Yong Peng-Paloh.

Jika sebelum ini hanya dilihat sebagai pusat pengumpulan buah-buahan seperti tembikai dan durian, namun, usaha Ling yang kerap mempromosikan makanan dan kawasan tarikan pelancongan menerusi laman sosial berjaya meledakkan nama Yong Peng sehingga mencatatkan kedatangan kira-kira 300,000 pelancong luar dan tempatan ke kawasan tersebut, tahun lepas.


Selain hidangan makanan tradisional Fuzhou seperti kuih ‘Eng Hin’ dan mi ‘Hock Chew’, Yong Peng menawarkan tarikan terowong naga terpanjang di dunia di Taman Hijau Pusat Memperbaiki Akhlak Che An Khor, Yong Peng Street di Jalan Meng Seng yang menyajikan jualan makanan dan barangan kraftangan, Wansern Agrotech yang mengusahakan sarang burung walit serta Rumah Berhala Gua Naga Hitam.

“Pada akhir 2016 dan awal 2017, sekurang-kurangnya 20 kedai baharu termasuk kedai kopi dan sebuah restoran makanan Korea dibuka di Yong Peng. Ini satu peningkatan di kawasan ini kerana adanya pasaran hasil pertumbuhan industri pelancongan.

“Dahulu, mana ada hotel, sekarang sudah ada tiga hotel baharu dan sejumlah inap desa,” katanya dan menambah usaha mempromosi Yong Peng turut dilakukan dengan memperkenalkan aplikasi ‘Visit Yong Peng’.

Menyedari kepentingan anak muda, Ling yang merupakan Naib Pengerusi Majlis Belia Negeri Johor bertekad untuk terus menggerakkan golongan itu dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan sukarelawan bagi memberi impak kepada masyarakat seperti Op Bantuan Mangsa Banjir.

Aktif dalam persatuan belia sejak berumur 15 tahun dan menerima Anugerah Pemuda Johor pada 2014, anak kepada pasangan pekebun dan pekerja kilang itu berkata penglibatannya dalam persatuan orang muda membuka mindanya menjadi seorang yang suka bergaul sekali gus mencurah bakti untuk rakyat.

Baru bergelar bapa kepada bayi perempuan, Ling Xi Tien, dua bulan, Ling berkata beliau sudah bekerja keras di Yong Peng dan kini terserah kepada 24,903 pengundi untuk memberi peluang kepadanya selaku anak muda yang berhasrat memajukan ‘kampungnya’.

“Biarpun berkempen tanpa ditemani isteri, Tan Thin Thin, 28, kerana masih di kampung halamannya di Kemaman, Terengganu, kerana baru sahaja melahirkan anak sulung kami, namun, ia tidak melemahkan semangat saya untuk menggiatkan kempen.

“Saya telah dipilih oleh pucuk pimpinan parti bertanding di DUN Yong Peng berganding bahu dengan bos saya iaitu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang bertanding di Parlimen Ayer Hitam. Marilah kita bersama-sama membina Yong Peng yang lebih hebat!” katanya yang akan ditentang Chew Peck Choo daripada PKR-DAP dan Muhammad Abdullah (PAS). – BERNAMA

Kategori