IPOH – Berkemeja putih dan seluar hitam, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah melempar senyum, bersalam dan menyapa pengunjung yang bersarapan di Kedai Spring Bandar di Kampung Tengku Hussin Baru, Manjoi di sini.
Anak jati Tambun, 66, itu tidak asing dalam kalangan penduduk Manjoi, satu daripada dua Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah kerusi Parlimen Tambun yang disandangnya sejak 1995.
Dengan motto ‘My Beautiful Tambun’, bekas menteri kewangan kedua itu berjaya mengubah landskap pembangunan di Parlimen Tambun yang terletak bersebelahan dengan bandar raya Ipoh hasil pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif.
Selain itu, Taman Tema Sunway Lost World of Tambun dan Movie Animation Park Studios (MAPS), Institut Pendidikan Guru di Hulu Kinta, Tambun telah membawa limpahan ekonomi serta sosial kepada penduduk sekitar hasil pembangunan terancang kerajaan negeri dan pusat.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya itu berikrar untuk meneruskan perjuangan dan mempergiatkan pembangunan bagi mengangkat Tambun ke tahap lebih tinggi.
Ahmad Husni bertekad mengekalkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu dengan menambah majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini walau berdepan cabaran daripada calon PKR iaitu Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Perak Muhamad Zulkifli Mohd Zakaria.
“Saya bersama calon BN bagi kerusi DUN Manjoi dan Hulu Kinta bukan baharu sibuk (berkempen) ketika musim pilihan raya. Kami bertiga telah bekerja sepenuh masa sejak lima tahun lepas. Ia menjadi budaya di Tambun.
“Di Tambun, kita adalah keluarga besar dan dengan titik peluh kita berusaha untuk mengubah wajah kawasan parlimen itu. Kerja-kerja ini mesti diteruskan dan PRU adalah untuk memastikan wakil rakyat yang dipilih dapat meneruskan pembangunan di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi Panel Perunding Politik Demokrasi Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Mazlan Ali pertandingan tiga penjuru di Parlimen Tambun memberi kelebihan kepada Ahmad Husni untuk mengekalkan kerusi tradisi UMNO itu.
Beliau berkata ketika tsunami politik pada 2008, Ahmad Husni menewaskan calon PKR Mohamad Asri Othman dengan majoriti 5,386 undi, namun pada PRU13 beliau memperoleh majoriti yang lebih besar apabila menewaskan calon PKR Siti Aishah Shaik Ismail dengan majoriti 9,325 undi.
Mazlan berkata Ahmad Husni mempunyai peluang cerah untuk menambah majoriti undi pada PRU14 susulan daripada perpecahan dalam kalangan pembangkang terutama melibatkan PAS.
Ditanya sokongan peringkat akar umbi berikutan Ahmad Husni yang meletak jawatan menteri dan kesemua jawatan dalam UMNO pada peringkat pusat, negeri dan bahagian, beliau berkata ia tidak akan menjejaskan sokongan terhadap calon itu.
Malah ia dilihat sebagai ‘keputusan terpuji, jujur dan berprinsip’ kerana beliau kekal sebagai anggota UMNO dan tidak melompat parti seperti bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kemungkinan timbulnya bibit kekecewaan segelintir penyokong UMNO, namun ia tidak berpanjangan dan jumlah (undi) tidak besar, mungkin dalam 100 hingga 200 undi sahaja. Ini masih tidak menjejaskan peluang BN mengekalkan kerusi tradisi itu,” katanya.
Untuk mendapat majoriti lebih besar pada PRU14, Mazlan berkata BN perlu memikat hati pengundi atas pagar.
Suruhanjaya Pilihan Raya merekodkan seramai 107,763 pemilih berdaftar bagi Parlimen Tambun untuk PRU14. – BERNAMA