SHAH ALAM – Aku janji Barisan Nasional (BN) Selangor untuk bayar 20 sen kepada pengguna yang bawa beg sendiri sewaktu membeli-belah di kedai atau pasar raya jika menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disambut baik rakyat Selangor yang ditemui.
Pesara kerajaan, Kamsiah Said, 62, menyifatkan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikenakan kerajaaan pakatan pembangkang ke atas rakyat Selangor bertujuan mengurangkan penggunaan bahan plastik yang mencemarkan alam sekitar dilihat kurang berkesan.
“Caj 20 sen yang dikenakan kepada pembeli yang (menggunakan beg plastik kedai atau pasar raya) kerana tidak membawa beg sendiri, saya lihat kurang berhasil kerana tidak semua orang akan bawa beg plastik sendiri ketika membeli barang.
“Seperti saya sendiri kadang-kadang pada satu-satu masa kita secara kebetulan singgah di kedai untuk beli barang dan waktu itu pula tidak bawa plastik…jadi terpaksa kita bayar lebih 20 sen kepada pekedai,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, bagaimanapun, jika pengguna dibayar 20 sen ketika membeli barang keperluan, langkah itu dapat menggalakkan mereka untuk membawa beg sendiri ketika membeli-belah supaya dapat mengurangkan penggunaan beg plastik.
Aku janji itu diumumkan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menerusi manifesto yang dilancarkan parti itu pada 8 April lepas, di bawah inisiatif Kesihatan Berkualiti dan Kelestarian Alam Sekitar.
Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena setiap hari bagi semua pusat komersial utama mulai 1 Jan, 2018 selepas dilaksanakan pada setiap Sabtu sejak 2010.
Bagaimanapun, bagi pengguna yang ingin menggunakan beg plastik disediakan pasar raya, mereka dikenakan bayaran tambahan 20 sen bagi setiap beg plastik.
Pengguna yang mahu dikenali sebagai Azrun, 34, pula berpandangan langkah BN Selangor itu adalah tepat sekali gus mampu mendidik rakyat supaya mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kehidupan harian.
“Langkah kerajaan Selangor sekarang yang mengenakan caj 20 sen untuk satu beg plastik bagi rakyat yang kurang mampu pada saya perkara itu agak besar.
“Bayangkan jika 100 orang bayar 20 sen sehari atau 100 orang bayar 20 sen selama 100 hari, berapa kerajaan negeri akan untung? Sedangkan sehelai beg plastik kosnya tak sampai 20 sen pun,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin gagal menjelaskan secara terperinci kepada rakyat Selangor ke mana perginya hasil kutipan 20 sen yang dicaj peniaga ke atas pengguna bagi setiap beg plastik.
“Apabila BN Selangor memperkenalkan pendekatan sebaliknya (dalam manifesto BN Selangor bagi PRU14) ia ternyata akan menguntungkan rakyat kerana mereka akan dibayar atas usaha membawa beg mereka sendiri,” katanya.
Pemilik kedai serbaneka, M.Kumares, 49, turut mempunyai pandangan senada dan menyifatkan caj 20 sen yang akan dibayar kepada pengguna sekiranya membawa beg sendiri ketika membeli barang di kedai, pasti memberi kesan positif dalam mengurangkan penggunaan plastik.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak mengenakan sepenuhnya caj 20 sen itu kepada pembeli, sebab saya ada ramai pelanggan tetap daripada golongan kurang berkemampuan.
“Apabila ada yang datang beli barang dengan kuantiti yang banyak selalunya saya akan bagi kotak terpakai untuk memudahkan mereka bawa pulang barang yang dibeli,” katanya. – BERNAMA