MESKIPUN sudah empat tahun jalani kehidupan bergelar ibu tunggal bersama anak tunggalnya, Nurdhia Dania, pelakon dan pelawak Ieda Moin mengakui pasrah serta mengaku gembira dengan kehidupannya kini.
Pemilik nama sebenar Siti Haida Abd Moin itu mengakui dia kini semakin dapat menyesuaikan diri serta cuba menjadi ibu terbaik buat anaknya yang berusia 10 tahun.
“Alhamdulillah kehidupan kami dalam keadaan yang baik-baik sahaja dan saya gembira dengan apa yang saya miliki sekarang.
“Dalam tempoh empat tahun ini semuanya berjalan lancar kerana bekas suami juga banyak bantu dari segi keperluan anak dan dia tidak pernah lepas tangan walaupun tahu saya mampu menyediakan sendiri.
“Tidak seperti kebanyakan pasangan bercerai yang lain, hubungan kami masih lagi baik, malah boleh bersahabat sehingga ke hari ini kerana anak,” ujar Ieda dipetik Sinar Online.
Ditanya soal pendamping hidup, penyanyi itu memberitahu menyerahkan soal itu kepada jodoh dan mengakui yang dirinya kini sedang berkawan rapat dengan seseorang.
Pun begitu, Ieda memberitahu dia masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk ke fasa seterusnya.
“Memang saya kini sedang berkawan rapat dengan seseorang dan dia juga mempunyai hubungan yang sangat baik dengan anak saya.
“Bagaimanapun buat masa ini saya belum mempunyai perancangan untuk membawa hubungan ini ke tahap yang lebih serius.
“Bukan saya tidak bersedia, tetapi saya menyerahkan soal jodoh ini kepada Allah. Kalau sudah ditetapkan begitu, saya terima sahaja dengan hati yang terbuka,” katanya.
Sementara itu berkongsi mengenai perkembangan diri, Ieda dikatakan bakal muncul dengan beberapa drama dan program terbaharu sepanjang bulan Ramadan ini.
“Kalau ikutkan saya nak rehat sahaja sepanjang Ramadan ini, tetapi banyak pula tawaran bagus yang datang dan sukar untuk ditolak.
“Selain drama Air Mata Di Bumi Matador yang bakal menemui penonton mulai 30 Mei ini, saya juga muncul dalam drama Geng Tadarus dan musim terbaharu program Kecoh Raya di TV2, selain teleraya Opocot Melatah Raya di saluran Astro,” kata Ieda lagi. – MYNEWSHUB.CC/AM