PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan bekerjasama menjayakan misi ‘Ops Pagar’ bagi membendung kegiatan penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing di kawasan sempadan perairan negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pertengahan bulan depan.
Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Muda Maritim, Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata operasi itu akan dilaksanakan seminggu sebelum dan seminggu selepas sambutan Aidilfitri melibatkan 500 anggota.
“Ops Pagar membabitkan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) terutama bagi membendung kemasukan nelayan asing menangkap ikan di perairan negara dan penyeludupan mercun serta bunga api yang diharamkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Pejabat APMM di sini, malam tadi.
Beliau berkata APMM di ketiga-tiga negeri itu secara bergilir-gilir meronda kawasan perairan negara membabitkan sebuah kapal dan dua bot setiap hari termasuk pada hari perayaan.
Katanya berdasarkan situasi pada musim perayaan yang lepas, nelayan asing terutama dari Vietnam cuba mengambil kesempatan menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram. – BERNAMA