PADANG TERAP – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (RRD) merampas 300 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM27,000 yang dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran pagi tadi.
Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota selepas membuat rondaan di Pos Batu 34 pada kira-kira 10.30 pagi.
Beliau berkata daun ketum itu dirampas selepas pasukan itu menemui sebuah kenderaan pacuan empat roda yang tersangkut di kawasan becak berhampiran pos berkenaan yang menghala ke sempadan Malaysia-Thailand.
“Kita percaya suspek melarikan diri ke dalam hutan berdekatan dan pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui 30 plastik hitam seberat 300 kilogram daun ketum untuk diseludup,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Daun ketum dan kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut. – BERNAMA