PENYANYI kumpulan Wings, Datuk Awie mengakui menyesal dengan keputusan untuk terlibat dengan penggambaran sebuah drama bersiri dan menganggapnya sebagai satu kesilapan besar.
Jelas Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, pengalaman kali pertama berlakon sebagai teraju utama untuk drama Bila Tuhan Berbisik Cinta membuatkannya sedar berlakon drama bukanlah satu tugas yang mudah.
“Menyesal dan sungguh saya dah tak sanggup! Macam manalah pelakon-pelakon lain yang terlibat dengan drama bersiri boleh tahan berada di set penggambaran untuk tempoh panjang.
“Jujur saya katakan ia memenatkan dan kalau hendak jadikan ia sebagai kerjaya hari-hari memang tak sanggup saya.
“Bila Tuhan Berbisik Cinta ini pun dah buat saya rasa menyesal kerana sebelum ini tidak pernah berlakon dalam drama bersiri,” katanya memetik mStar Online.
Awie turut menambah bahawa penggambaran drama bersiri tersebut diadakan di Golok, Thailand dan perkara itu adakalanya menyebabkan dia tidak bertemu dengan keluarga selama 10 hari.
Namun begitu, Awie berkata dia tetap berasa seronok terlibat dalam drama bersiri itu memandangkan sebelum ini dia hanya banyak terlibat dalam filem dan telefilem.
Biarpun mengakui ia memenatkan, Awie menganggap perkara tersebut sebagai pengalaman baharu untuknya memandangkan watak yang dilakonkan dalam drama itu adalah berat dan memerlukan fokus yang tinggi.
“Bayangkan 10 hari tidak bertemu keluarga kerana penggambaran diadakan di Golok, Thailand namun ia turut memberi pengalaman baru kepada saya.
“Banyak betul beza berlakon dalam filem berbanding drama bersiri dan ia menyedarkan saya bahawa kerja berlakon ini bukan main-main,” jelasnya.
Ujar Awie, dia bersetuju untuk menerima tawaran terlibat dalam drama Bila Tuhan Berbisik Cinta kerana telah berjanji dengan rakan baiknya, Raja Mukhriz yang juga merupakan pengarah drama tersebut.
Mengulas mengenai perkembangan dunia muzik, Awie bersama Wings akan mengadakan persembahan istimewa bersempena bulan Ramadan di Hotel Priemera, Kuala Lumpur pada 26 Mei depan. – MYNEWSHUB.CC/EZ