DALAM diam rupa-rupanya nama penyanyi kecil molek Ayda Jebat telah dikaitkan kononnya dia merupakan selebriti yang dimaksudkan pelakon Janna Nick baru-baru ini di Instastory miliknya.
Malah, dakwaan yang dikaitkan oleh segelintir netizen itu membuatkan Ayda langsung tidak tahu menahu tentang Instastory yang dibuat oleh Janna kerana hubungan mereka juga tiada sebarang masalah pada ketika ini.
“Sejujurnya saya tidak tahu apa-apa. Saya tidak tahu pun Janna ada bercakap mengenai perkara itu.
“Saya tidak tahu sama ada perlu terasa atau tidak kerana saya tiada kaitan apa-apa kalau orang mengatakan dia bercakap tentang saya,” kata Ayda ketika ditemui oleh pihak mStar Online.
Sebab utama mengapa ‘makcik bawang’ mengaitkan nama Ayda ialah kerana pada Ahad lalu, penyanyi lagu Pencuri Hati itu telah dijemput sebagai tetamu program Melodi yang dihoskan Janna bagi mempromosikan telefon bimbit.
Apa yang menguatkan lagi dakwaan mereka ialah apabila Janna secara kebetulan pula memuat naik Instastory itu pada sebelah malam hari yang sama.
Namun Janna tidak pernah serta tidak akan mendedahkan identiti selebriti yang dimaksukan olehnya itu.
Dalam masa sana, Ayda mengakui bahawa ketika sebelum kemunculannya di program Melodi, hubungannya bersama Janna langsung tiada masalah, malah mereka dikatakan agak rapat selepas Ayda membintangi beberapa drama di bawah arahan JS Pictures.
Menurut Ayda juga, sebelum rancangan bermula, mereka berdua telah mengadakan sedikit perbincangan tentang produk telefon yang akan dipromosikan oleh Ayda memandangkan Janna merupakan duta jenama lain.
“Semasa di Melodi pun kami seperti biasa sahaja malah sempat buat latihan disebabkan saya perlu mempromosikan jenama telefon yang saya wakili.
“Janna pula tidak boleh mempromosikan jenama itu kerana dia adalah duta untuk jenama lain jadi kami buat latihan agar keadaan tidak kekok ketika siaran langsung.
“Semuanya berjalan seperti biasa sahaja. Sebelum ini pun saya pernah lima ke tujuh kali bertemu dengannya termasuk di rumah penerbit, Sheila Rusly.
“Kami pernah makan bersama malah Janna juga pernah datang ke set penggambaran saya dan saya pun pernah buat perkara sama,” tambahnya lagi.
Ayda dan Janna sememangnya kelihatan rapat bersama kerana mereka sering berkunjung ke kediaman Sheila Rulsy dan Jinggo bagi meluangkan masa bersama keluarga angkat mereka.
Walaupun sebelum ini ada khabar angin mendakwa kononnya mereka bergaduh akibat ‘berebut’ Sheila Rusly, kontroversi itu telah ditepis sekeras-kerasnya oleh Sheila sendiri. – MYNEWSHUB.CC/AH