SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara rasmi dilantik sebagai Menteri Besar negeri ini bagi penggal kedua.
Mohamed Azmin, 54, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini kira-kira pukul 3 petang ini.
Hadir sama mengiringi baginda semasa istiadat itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Mohamed Azmin dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan memperoleh majoriti 51 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh empat kerusi manakala PAS hanya satu kerusi. Timbalan Presiden PKR itu mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 23 September 2014.
Pada PRU14, Mohamed Azmin berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa dengan majoriti 25,512 undi dan kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 undi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA