AMPANG – Calon Bebas Dewan Undangan Negeri N19 Bukit Antarabangsa, Azwan Ali meneruskan kempen yang dijalankan mengikut caranya sendiri di kawasan tersebut, hari ini.
Jika sebelum ini selebriti kontroversi itu menjamu penduduk sekitar dengan jamuan rendang hasil air tangannya pada cuti Hari Buruh yang lalu, Azwan sekali lagi turun berkempen dengan membelanjakan nasi lemak kepada mereka yang hadir ke gerai Maznah Corner di sini.
Azwan yang berpakaian serba kelabu, seperti kebiasaan dengan karakter cerianya berceloteh melayan penduduk kawasan itu sambil menyebarkan manifesto kempennya kepada mereka.
Melihat kehadiran Azwan di gerai bahu jalan itu, orang ramai yang berada di kawasan itu mengambil kesempatan berjumpa dan mengambil gambar dengan Diva AA itu sambil turut menerima hadiah nasi lemak daripada bekas pengacara terkenal itu.
Azwan yang bertanding melawan abangnya sendiri Datuk Seri Azmin Ali yang mewakili Parti Keadilan Rakyat berkata, ini merupakan caranya berkempen bertemu para penduduk tempat dia bertanding.
Dalam masa sama, Azwan menjelaskan dia bukan melakukan kempen tersebut untuk memancing undi, sebaliknya hanya ingin bermesra dengan penduduk setempat dan bertanyakan masalah mereka.
“Saya rasa Bukit Antarabangsa ni tak perlu misi beria-ria, saya rasa rakyat di Bukit Antarabangsa ini semua berkelas tinggi. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
“Yang penting saya lakukan ini bukan soal undi ye, ini soal kemesraan. Kita bersama-sama rakyat,” katanya ketika ditemui di gerai tersebut.
Tambahnya, dia bertanding bukan untuk mengharapkan kemenangan, sebaliknya penglibatannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini telah membuat namanya kembali disebut-sebut.
Azwan meluangkan masa hampir sejam bersama penduduk kawasan Bukit Antarabangsa di hadapan gerai Maznah Corner dan membelanjakan semua yang hadir.
Ujar Azwan lagi, dia hanya berkempen untuk menjaga kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut yang sudah 10 tahun di bawah pemerintahan pembangkang.
Mengulas sama ada dia bertanding di kawasan berkenaan hanya untuk suka-suka, Azwan tidak menolak perkara itu dan menyifatkan akan membantu penduduk kawasan Bukit Antarabangsa sebaik mungkin sekiranya ditakdirkan menang.
“Kalau saya suka-suka ke atau saya serious pun, itulah Azwan Ali. Kadangkala saya serius, kadangkala saya suka-suka, jadi orang pun keliru.
“Tak apa lah, yang penting saya jaga rakyat, saya turun ke rumah mereka bertanyakan masalah. Inshaallah. Itu konsep saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azwan turut mendedahkan bahawa hari ini merupakan kempen keduanya selepas menjamu rendang tempoh hari dan meminta orang ramai untuk menantikan kempen terakhirnya tidak lama lagi. – MYNEWSHUB.CC/EZ