HEBOH betul rakyat Malaysia, berikutan pengumuman hutang negara yang telah melepasi paras RM1 Trilion. Bagi mereka yang terlepas, boleh baca siaran media di bawah:
Sumber: Facebook Kementerian Kewangan Malaysia
1. Hutang Rasmi Kerajaan Persekutuan
Setakat 1 Disember 2017, hutang rasmi kerajaan persekutuan adalah RM686.8 bilion atau 50.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP).
Bagi suku pertama 2018 (Q1 2018) pula, ianya telah meningkat kepada RM705 bilion.
Sumber: Bank Negara Malaysia
Tapi perasan tak bahagian ‘Debt guaranteed by Federal Government’ kini jadi N.A? Walaubagaimanapun, itu bukan topik perbincangan kita buat kali ini ya.
2. Hutang Kerajaan Akibat Menjadi Penjamin
Ingatkan individu saja yang biasa menjadi penjamin, tapi kerajaan juga boleh menjadi penjamin.
Di antara hutang-hutang tersebut adalah:
Danainfra Nasional Berhad (RM42.2 bilion)
Govco Holdings Berhad (RM8.8 bilion)
Prasarana Malaysia Berhad (RM26.6 bilion)
Malaysia Rail-Link Sendirian Berhad (RM14.5 bilion)
1MDB (RM38 bilion)
Hutang yang dijamin kerajaan ini juga sebenarnya amalan biasa sejak dahulu, malah ketika zaman Tun Dr. Mahathir bin Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-4. Apabila syarikat-syarikat yang dijamin tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman mereka, maka kerajaan persekutuan yang terpaksa membayarnya.
Jika masih ingat kerajaan pada tahun 2001 melalui Prasarana Malaysia Berhad telah mengambil alih syarikat LRT STAR dan PUTRA dengan menerbitkan bon (hutang) yang dijamin oleh kerajaan sendiri. (Rujuk laporan Malaysiakini)
Sehingga hari ini sebahagian hutang tersebut masih ditanggung oleh kerajaan melalui jaminan yang diberikan.
Jumlah hutang kerana kerajaan menjadi penjamin adalah RM199.1 bilion atau 14.6% daripada KDNK.
Sekarang hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM885.9 bilion atau 65.4% daripada KDNK.
3. Hutang PPP
Yang ini pula hutang disebabkan oleh Public Private Partnership (PPP) atau Kerjasama Awam Swasta. Nak biaya projek-projek seperti pembinaan sekolah, hostel, jalanraya, stesen polis, hospital dan lain-lain memerlukan dana.
Jadi kerajaan persekutuan yang menanggung sewa, kos penyelenggaraan dan lain-lain sejumlah RM201.4 bilion atau 14.9% daripada KDNK.
Contohnya kerajaan membayar sewa lebih RM1 bilion setahun kepada Putrajaya Holdings Berhad (PJH) yang membina Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan. (Tempoh konsesi selama 25 tahun)
Dalam perakaunan, komitmen membayar sesuatu seperti bayaran sewa ini dikategorikan di bawah liabiliti.
Hutang Dalam Negara Pun Banyak
Sumber:Bank Negara Malaysia – 3.1.5 Hutang Kerajaan Persekutuan yang Diterbitkan Dalam Negeri: Pengkelasan mengikut Pemilik
Sebenarnya, bukan semua hutang adalah tidak baik. Ada kalanya kerajaan berhutang dengan ‘diri sendiri’ juga. Kerajaan terbitkan bon untuk kumpul dana, yang beli bon tersebut adalah KWSP, KWAP dan jerung-jerung lain. Baca lagi tentang pelaburan bon di sini.
Bukan semua hutang ini due serentak. Hutang kerajaan kebanyakannya dalam bentuk bon. Untuk bon, kerajaan hanya perlu bayar ‘bunga’, nilai mukanya hanya dilangsaikan selepas tempoh matang. Ada yang kena bayar dalam kadar segera, ada yang kena bayar lagi 2-3 tahun, ada yang kena bayar lagi 10-20 tahun.
Berbeza Sistem Laporan Berbanding Dahulu
Kini Kerajaan Persekutuan tidak lagi menggunakan istilah hutang sahaja, tetapi juga liabiliti. Sekarang mereka sebut sebagai hutang dan liabiliti.
Maka jumlah hutang dan liabiliti setakat 31 Disember 2017 kini berjumlah RM1,087.3 bilion atau 80.3% daripada KDNK.
Hutang kerajaan sebanyak RM868.8 bilion adalah betul.
Hutang kerajaan sebanyak RM1 trilion juga adalah betul.
Bukan nak sembunyikan maklumat, tapi terjadinya isu hutang RM1 trilion adalah apabila berbezanya sistem laporan berbanding kerajaan terdahulu.
Hutang tetap hutang, penjamin tetap perlu bayar hutang kalau yang dijaminnya tidak mampu bayar. Takkan nak biarkan negara bankrap sebab tak mampu nak bayar hutang?
Apa Beza Hutang Kerajaan Dengan Hutang Negara?
Hutang Kerajaan adalah seperti di atas, bergantung kepada sistem laporan yang digunakan.
Untuk Hutang Negara pula, saya ingin memetik daripada saudara Ayman Rashdan Wong berkenaan ini:
Hutang Negara atau “National Debt” mengambil kira hutang kerajaan dan juga hutang swasta, termasuk hutang isi rumah (household debt), jadi angkanya sentiasa lebih besar.
Berapa pula hutang negara ini ya? Bersama-sama kita nantikan kupasan akan datang. – www.majalahlabur.com