“FATIN, baliklah. Mama rindu sangat pada Fatin sejak lebih dua bulan Fatin menghilangkan diri,” luah Maslina Othman, 43, ibu kepada remaja perempuan, Radiana Fatinha Azhari, 14, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada 26 Febuari lalu.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Radiana Fatinha yang mesra dengan panggilan Fatin dikatakan keluar dari rumahnya di Salak Tengah, Sepang, Selangor dengan membawa dua beg pakaian dan dua kasut.
Menurut Maslina, pada hari kejadian, Fatin bangun daripada tidur 7 pagi dan sempat membetulkan kasutnya sebelum dia disedari hilang selepas dipercayai keluar dari rumah melalui pintu belakang.
Katanya, dia pelik dengan gelagat Fatin pada hari kejadian kerana keadaannya seperti gelisah dan dilihat beberapa kali menjenguk Maslina di bilik.
“Saya perasan Fatin bersikap pelik pada hari itu kerana dia kerap menjenguk saya di bilik dan memaklumkan dia lapar. Namun, selepas beberapa minit kemudian, saya memanggilnya tetapi tidak berjawab.
“Saya mencarinya di sekitar kawasan rumah, namun tidak melihat kelibatnya di mana-mana menyebabkan saya tergerak untuk memeriksa di dalam biliknya. Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat kebanyakan bajunya tiada di dalam almari termasuk dua kasut dan beg pakaian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Maslina berkata, beberapa hari sebelum kejadian, Fatin sering dilihat murung dan menolak untuk keluar walaupun untuk berjumpa ahli keluarga.
“Dia ada meminta kebenaran untuk bekerja sambilan, namun saya tidak membenarkan kerana dia masih bersekolah. Selepas beberapa hari dia menghilangkan diri, Fatin ada menghubungi saya melalui mesej memaklumkan dalam keadaan sihat.
“Kali terakhir dia menghubungi saya pada 23 Mac lalu memaklumkan mahu pulang ke rumah, namun bimbang akan dimarahi kerana tindakannya menghilangkan diri. Selepas itu dia tidak dapat dihubungi sehingga kini,” katanya yang juga seorang suri rumah.
Katanya, dia amat merindui dan bimbang terhadap keselamatan anak kelimanya daripada lapan adik beradik itu sejak menghilangkan diri.
“Saya bimbang dengan keselamatan Fatin kerana tidak tahu dia tinggal bersama siapa kini. Kami semua (ahli keluarga) rindukan dia dan mahu dia kembali ke rumah dalam tempoh masa terdekat memandangkan bulan Ramadan sudah semakin dekat.
“Saya mahu menyambut Ramadan bersama dia seperti tahun sebelum ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Fatin boleh menghubungi saya di talian 017 6465175 atau abangnya, Syawalluddin Azhari, di talian 017 6061487,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang berhubung kehilangan anak perempuannya itu. – myMetro Online