BUTTERWORTH – Beberapa pembaharuan perlu dibuat terutamanya yang membabitkan peralatan ketenteraan bagi memastikan kesiagaan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap maksimum, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk dipertimbangkan kerana pasukan keselamatan negara amat memerlukan peralatan ketenteraan yang moden dan canggih.
“Bila mendengar taklimat tentera darat, laut dan udara, saya rasa perlu tindakan segera untuk kita memperkemaskan peralatan ATM ini. Saya harap perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dapat menyokong untuk membuat pembaharuan segera terutama soal peralatan ketenteraan kita.
“Inilah yang kita mahu supaya peralatan kelengkapan ketenteraan sama ada di peringkat persenjataan atau peralatan pengangkutan berada dalam keadaan terbaik supaya soal keselamatan negara menjadi keutamaan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterworth di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Mohamad, Normah Alwi, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan pegawai-pegawai kanan TUDM serta anggota dari Institut Kepimpinan dan Pengurusan (INSKEP) dan Kolej Tentera Udara, Alor Setar.
Pangkalan Udara Butterworth menjadi destinasi kunjungan pertama Mohamad selepas beliau menerajui Kementerian Pertahanan pada 22 Mei lepas.
Mengenai dakwaan di media sosial berhubung penyelewengan membabitkan pembelian aset dan pengoperasian pasukan keselamatan itu, Mohamad berkata jika perkara itu berlaku, ia akan disiasat sebuah jawatankuasa yang diwujudkan untuk menyelesaikan isu itu.
“Saya belum lagi tengok kes demi kes. Hari ini hari kelima saya menjadi menteri, kebanyakannya saya mendengar taklimat dari pegawai-pegawai mengenai perjalanan kementerian. Saya ambil pendekatan bersuai kenal dengan pegawai-pegawai dahulu.
“Selepas ini, barulah kita pergi kepada perkara-perkara yang disebut dalam media. Saya mengambil pendekatan bahawa saya tidak akan bertindak berdasarkan ‘hearsay’…mesti oleh jawatankuasa,” katanya.
Ditanya mengenai pengalaman pertamanya menaiki pesawat tentera A400M, Mohamad menyatakan rasa bangga kerana sejak dari kecil beliau mendengar bunyi pesawat tentera berlepas dan mendarat berikutan rumahnya berhampiran dengan pangkalan udara itu.
“Inilah pertama kali saya dapat naik kapal terbang TUDM A400M dan perjalanannya baik walaupun dalam keadaan awan yang agak tebal tapi goncangnya agak kurang.
“Saya sendiri tidak rasa cemas apa-apa. Saya haraplah kapal terbang ini sentiasa berada dalam keadaan yang baik terutama untuk membawa tentera kita menjalankan tugas menjaga keselamatan seluruh negara,” katanya. – BERNAMA