KOTA KINABALU – Pemimpin belia Sabah mengajak seluruh golongan belia di negeri ini untuk keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), esok.
Ketua Penerangan Majlis Belia Sabah Abqaree Fawwaz Abekan berkata orang muda Sabah perlu menggunakan hak mereka dalam proses demokrasi ini sebagai kelangsungan agenda pembangunan negara sekali gus memilih kerajaan yang benar-benar memberi manfaat terhadap pembangunan belia.
“Kita (belia) perlu memberi mandat dan peluang sekali lagi kepada kerajaan sedia ada pada PRU14 ini bagi membolehkan mereka meneruskan agenda pembangunan sekarang. Banyak sudah pembangunan belia dilaksanakan kerajaan dan dirancang untuk belia termasuk dalam manifesto orang muda.
“Jika kerajaan sedia ada ada ini bertukar, segala perancangan yang sudah disusun rapi, akan dihentikan. Ini satu kerugian untuk belia sebab selama ini kita sudah merasai pelbagai inisiatif. Jadi, biarlah kerajaan sedia ada ini diteruskan dan saya percaya kerajaan akan menambahbaik program pembangunan belia,” katanya yang juga Presiden Belia Inspirasi Kinabalu kepada Bernama, di sini hari ini.
Pandangan sama turut diberikan oleh Presiden Kelab Sukan Borneo Cemerlang. David Ong Choon Chung, 44, yang berkata kerajaan sedia ada ini adalah pilihan terbaik untuk belia Sabah bagi memastikan segala perancangan pembangunan mampan di Sabah dapat dilaksanakan.
“Marilah kita menunaikan tanggungjawab dan pilih kerajaan yang banyak memberi pembangunan kepada negeri khususnya orang muda. Bagi saya, kerajaan sedia ada sekarang ini adalah pilihan terbaik untuk kita (belia),” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Sukan dan Kecergasan Kampung Darau, Manggatal, Sudin Yusof mengingatkan semua belia yang layak mengundi untuk keluar lebih awal esok bagi melaksanakan tanggungjawab lima tahun sekali itu.
Beliau berkata anggota kelabnya itu turut membantu menjalankan kempen pilihan raya termasuk memberi penjelasan berhubung usaha kerajaan dalam pembangunan belia Sabah.
“Saya seru kepada belia diluar sana jangan fikir panjang lagi, esok keluarlah mengundi dan pilihlah kerajaan sedia ada demi masa depan kita,” katanya. – BERNAMA