KEGAGALAN perkahwinannya baru-baru ini telah mengubah pelakon, Bella Dally menjadi seorang yang sentiasa kuat dan reda dengan ketentuan Allah buat dirinya.
Malah kata Bella, dia juga tidak menjadikan ‘episod duka’ yang berlaku di antara dirinya dan Nazim Othman sebagai penghalang atau sebab untuk dia tidak menghargai kehidupannya yang akan dilaluinya selepas ini.
“Allah dah takdirkan benda ini berlaku dan dalam masa yang sama dia juga memberi kekuatan kepada saya.
“Bagi saya ini adalah yang terbaik buat kami berdua. Soal apa yang berlaku sehingga menyebabkan kami ambil keputusan ini bukanlah sesuatu yang manis untuk saya kongsi,” kata Bella dipetik sebuah portal online.
Menurut Bella lagi, dia kini sibuk menumpukan tumpuan kepada diri dan perniagaan baharu di samping menghargai kehidupan dan menikmati hari mendatang yang lebih gembira.
“Fokus adalah diri saya sendiri, untuk menjadi lebih gembira dan positif. Dalam usaha untuk mendapat kehidupan yang lebih baik saya juga kini sedang sibuk mempromosikan produk makanan Crumbs by Bella sepanjang bulan puasa ini,” tambah Bella lagi.
Baca: Nazim Othman, Bella Dally Bercerai
Berkongsi mengenai perniagaannya, Bella berkata biskut yang dijual dengan harga RM35 sepeket itu adalah hasil resipinya.
Ujarnya lagi, dia juga akan berada di Gala Raya pada 25 sehingga 27 Mei dan Setia Raya Fest pada 1 hingga 3 Jun depan untuk turun padang mempromosikan produknya itu. – MYNEWSHUB.CC/AM