KETIKA usinya menjangkau 25 tahun, ia langsung tidak membuatkan penyanyi dan pelakon Amira Othman berasa terburu-buru untuk mencari pasangan hidup.
Malah, Amira menolak dakwaan kononnya dia sudah tutup pintu hati untuk mana-mana lelaki selepas gagal meneruskan hubungan bersama bekas kekasih yang juga peserta Akademi Fantasia 2013, iaitu Azhar daripada kumpulan duo Azhael.
“Saya tidak serik pun nak bercinta, cuma buat masa ini belum bertemu calon pilihan hati. Lagi pun, kerjaya saya masih perlu diberikan tumpuan.
“Kalau boleh, biarlah saya berjaya dalam kerjaya dahulu sebelum memikirkan komitmen untuk perkahwinan dan hidup berkeluarga,” ujarnya dipetik daripada portal Harian Metro.
Dalam masa yang sama, Amira turut tidak meletakkan kriteria utama yang tinggi buat mana-mana lelaki yang mahu memiliki hatinya.
Kriteria utama yang perlu ada pada jejaka itu hanyalah dia semestinya perlu mempunyai pekerjaan, hormat orang tua, penyayang, bertanggungjawab dan yang penting, tahu bagaimana mahu menambat hatinya.
“Apa pun, jujur saya akui buat masa ini memang belum terfikir untuk bercinta apatah lagi berkahwin. Saya ada impian yang belum dicapai,” tambahnya lagi.
Baru-baru ini Amira pernah terpalit dengan kontroversi kononnyaa dia menjalinkan hubungan cinta dalam senyap bersama penyanyi Ippo Hafiz dan penyampai radio Era FM iaitu Radin.
Bagaimanapun, awal-awal lagi penyanyi lagu Hati-Hati itu menolak gosip berkenaan dan menegaskan bahawa dia hanya berkawan dengan semua orang tanpa mempunyai apa-apa perasaan cinta.
Selain kontroversi cinta, kakak kepada penyanyi Irfan Harris itu juga terpalit dengan isu kononnya tidak berani untuk mencuba genre muzik baru selepas muncul dengan single ketiga berjudul Mimpi Indah.
Menjawab kepada dakwaan berkenaan, Amira menegaskan bahawa dia bukanlah tidak berani untuk cuba sesuatu yang baru tetapi buat masa kini dia lebih selesa dengan genre sama yang dikesan menepati kemampuan vokalnya.
Berbeza dengan penyanyi yang baru menempa nama, pasti mereka akan adakan gimik untuk menarik perhatian peminat untuk mendengar single baharu mereka.
Bagi Amira tujuan utama dia menceburi bidang seni bukanlah untuk bersaing dengan penyanyi lain, tetapi hanya untuk mengetengahkan bakat semata-mata.
Apa yang penting bagi gadis kelahiran Skudai, Johor itu ialah rezeki yang dimilikinya itu merupakan milik Allah SWT. – MYNEWSHUB.CC