Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

RTM Perlu Naik Taraf...

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyambut baik semua...

RTM Batal Debat Isu...

MUKTAMAD... Radio Televisyen Malaysia (RTM) membatalkan program debat secara langsung antara Presiden 1Malaysia...

Perut Besar, Otak Mengecil

LONDON - Perut buncit yang berpunca daripada lemak berlebihan sudah lama dianggap tidak...

Tetapkan KPI Bagi Selesai...

GURUN - Jabatan Agama Islam di negeri-negeri perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI)...

Berakhirnya 20 Tahun Keluar-Masuk Penjara

KUALA LUMPUR – Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menandakan berakhirnya episod 20 tahun beliau keluar-masuk penjara dan bermulanya penyambungan kerjaya politik pemimpin yang disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri.

Figura politik itu mewarnai landskap politik tanah air sama ada di dalam penjara atau di luar penjara dalam tempoh dua dekad ini, termasuk gerakan reformasi dan membuat percaturan politik tanah air sehingga menyumbang melalui partinya PKR, kepada kejayaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara dan sebilangan pentadbiran negeri-negeri.

Dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar kini kembali menghangatkan arena politik negara selepas mendapat pengampunan diraja hari ini.

Ketua Umum PKR itu adalah suami kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, dan hasil perkahwinan yang diikat pada 28 Februari 1980, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana.

Anwar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tokkun, Sekolah Stowell, Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya.

Anwar bergiat aktif dalam bidang politik sejak di universiti lagi apabila beliau antara lain menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), menjadi anggota jawatankuasa Majlis Belia Asia, anggota Majlis Belia Dunia serta anggota jawatankuasa rantau Asia Pasifik pada Perhimpunan Belia Sedunia.

Mula menjadi anggota Parlimen pada 1982 setelah memenangi kerusi Permatang Pauh, ketokohannya dalam politik diiktiraf, terutama ketika menjadi menteri kewangan.

Pada 1996, Euromoney menobatkan beliau sebagai empat menteri kewangan terbaik dunia dan Asiamoney menamakannya sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia.

Selain Menteri Kewangan, Anwar juga pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Pertanian dan Timbalan Perdana Menteri pada 1 Disember 1993.

Pada 19 Mei 1997, beliau dilantik menjadi pemangku perdana menteri dan menteri dalam negeri semasa ketiadaan Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad yang bercuti selama dua bulan.


Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, sebelum dipecat oleh UMNO keesokannya daripada jawatan timbalan presiden dan anggota parti itu atas dakwaan salah guna kuasa dan salah laku seksual.

Sejak pemecatan itu, bermulalah episod gelap dalam perjalanan kerjaya politik apabila beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 14 April 1999 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas disabitkan atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campurtangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

Anwar kemudian dibebaskan pada 2 September 2004 selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara.

Pada 28 Ogos 2008, Anwar kembali ke Dewan Rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh atas tiket PKR apabila isterinya yang juga anggota Parlimen kawasan itu, Dr. Wan Azizah, meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding.

Anwar seterusnya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014 oleh Mahkamah Rayuan, yang mendapatinya bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun sebelumnya.

Hari ini, berikutan pengampunan penuh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, beliau bebas daripada sebarang pertuduhan dan boleh terlibat dalam poliltik serta bertanding dalam pilihan raya untuk membolehkannya menjadi anggota Parlimen. – BERNAMA

Kategori