KUALA LUMPUR – Tanggal keramat 9 Mei, 2018 adalah titik tolak berubahnya hala tuju dan sejarah Malaysia. Buat kali pertama, rakyat memilih untuk mengubah kerajaan pemerintah daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan (PH).
Seluruh dunia memuji Malaysia yang berjaya menjalankan proses pengalihan pemerintah negara secara aman. Pihak yang kalah turut akur dengan keputusan yang diterima serta berjanji akan membantu melancarkan proses pemindahan kuasa.
Kehadiran PRU14 sejak awal lagi telah membawa pelbagai rasa risau dalam benak jiwa. Ia berlaku gara-gara banyaknya khabar angin bertebaran merata-rata.
Daripada cerita mengatakan kononnya akan berlaku rusuhan dan kekacauan oleh pihak yang kalah PRU sehinggalah perbuatan mengadu domba keburukan parti-parti politik serta para calon pilihan raya, laman sosial rakyat Malaysia dikotori dengan pelbagai najis fitnah.
Fitnah ini ternyata meresap ke jiwa rakyat. Penulis sendiri beberapa kali terperangkap dalam diskusi panas di meja kedai makan bersama rakan-rakan yang menyatakan bersedia turun ke jalan raya sekiranya parti yang disokong tewas.
Daripada riak wajah mereka dan bahasa badan mereka, nyata dapat dilihat bahawa mereka bukannya bergurau.
Sewaktu pilihan raya berlangsung pun, pelbagai cerita menular masuk ke gajet-gajet pintar rakyat melalui Facebook, Twitter dan WhatsApp.
Bahkan sebaran berita palsu turut dijadikan senjata sesetengah pihak untuk menjadikan rakyat gusar dan lebih buruk daripada itu, cuba menimbulkan elemen kebencian kepada institusi beraja di negara ini.
Sebuah portal berita yang berpengaruh turut bersekongkol melakukan perkara ini dengan menyiarkan beberapa gambar kereta perisai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kononnya telah dikerahkan mengawal beberapa tempat di Putrajaya.
Hanya selepas ditegur orang awam barulah mereka mengubah ayat pada status Facebook mereka. Tetapi masih tidak menurunkan gambar-gambar itu dari siaran dalam laman Facebook mereka.
Hal ini turut mendapat reaksi pantas pihak ATM dan PDRM yang menafikan perkara itu.
Tetapi nasi sudah menjadi bubur. Gambar-gambar ini tersebar luas melalui media sosial Facebook dan WhatsApp.
Emosi rakyat telah terganggu. Persepsi buruk telah berjaya ditanam. Matlamat menakutkan rakyat nampaknya berjaya dilakukan.
Tidak cukup dengan itu, Raja-raja Melayu turut diheret sama. Kononnya ada beberapa sultan yang membantah pelantikan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Sultan Selangor dan Sultan Johor pula dituduh kononnya merekalah yang menentang pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan atas sebab itulah upacara angkat sumpah menjadi tertangguh.
Walapun kenyataan rasmi telah dikeluarkan kedua-dua negeri menafikan tuduhan ini, matlamat asal penyebar berita palsu sudah pun tercapai iaitu untuk menyakitkan hati rakyat dan menimbulkan rasa benci kepada sultan.
Sekali lagi, pemfitnah menang.
Bagi mereka yang mempercayai fitnah ini, hujah yang mereka gunakan adalah kerana berlaku beberapa ‘penangguhan’ upacara angkat sumpah yang dikatakan tertangguh dari pukul 9.00 pagi kemudiannya ke pukul 5.00 petang dan akhirnya ke pukul 9.30 malam.
Bagi penulis sendiri, kesalahan terbesar jatuh kepada pihak yang menyebar berita kononnya acara angkat sumpah Perdana Menteri akan diadakan pada pagi 10 Mei.
Apabila upacara itu tidak berlaku, mulalah timbul fitnah dalam kalangan masyarakat.
Apa yang lebih menyedihkan adalah fitnah ini dipercayai bulat-bulat oleh sebahagian besar masyarakat, termasuklah orang berjawatan penting dalam organisasi berita.
Sedangkan yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Tidak satu pun tuduhan ini benar atau mempunyai sebarang asas.
Untuk pengetahuan, kira-kira pukul 3.00 pagi pada 10 Mei sebaik sahaja keputusan rasmi pilihan raya menyatakan Pakatan Harapan (yang pada waktu itu menggunakan nama Parti Keadilan Rakyat (PKR)) menadapat majoriti mudah kerusi Parlimen, Sultan Muhammad V telah menitahkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menghadap di Istana Negara.
Bayangkan, pemimpin tertinggi negara sebenarnya turut bersekang mata seperti rakyat jelata mengikuti keputusan pilihan raya dan mengambil keputusan pantas sebaik kerajaan dapat ditubuhkan!
Dalam pertemuan ringkas itu, baginda telah menjemput PKR (menurut nama rasmi yang digunakan sewaktu pilihan raya) untuk menubuhkan kerajaan atas dasar menang majoriti mudah.
Pun begitu, baginda terlebih dahulu perlu menerima dan meneliti keputusan penuh PRU yang akan dipersembahkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kepada baginda.
Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution ketika dihubungi Bernama yang antara lain memberitahu upacara mengangkat sumpah tidak akan dilakukan selagi Istana Negara belum mendapat keputusan penuh PRU secara rasmi daripada SPR.
Pujian tertinggi harus diberikan kepada Istana Negara yang tenang menjalankan tugas walaupun dikecam dengan pelbagai tuduhan dari luar tembok istana.
Sebaik sahaja mendapat keputusan penuh PRU secara rasmi daripada SPR pada pukul 2.45 petang, Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu memeriksa dokumen-dokumen rasmi yang kemudiannya membawa kepada titah pemimpin-pemimpin PH menghadap baginda pada pukul 5.00 petang.
Setelah berpuas hati dengan komitmen pemimpin empat parti komponen PH iaitu Dr. Wan Azizah; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menyatakan sokongan penuh pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, barulah upacara angkat sumpah dijadualkan pada sebelah malamnya.
Perlu diingat sebagai pemimpin tertinggi negara, Yang di-Pertuan Agong perlu memastikan setiap perkara ditimbang dengan sebaiknya bagi mengelakkan suasana yang tidak diingini selepas sesuatu keputusan.
Jika tidak, potensi timbul kekecohan seperti apa yang berlaku di Sabah boleh berlaku iaitu selepas pelantikan Ketua Menteri, berlaku pula perubahan ‘kiblat’ dalam kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri yang akhirnya memangsakan rakyat jelata.
Malang yang masih menimpa rakyat negara ini adalah, setelah hampir dua minggu selesai proses pilihan raya belum kelihatan sebarang tanda berkurangnya berita palsu yang disebarkan melalui media sosial.
Ibarat rumah siap pahat masih berbunyi, perdebatan politik masih rancak oleh kumpulan sembang WhatsApp dan Telegram.
Sebaran ‘fakta’ ciptaan entah siapa juga masih berkeliaran masuk ke telefon pintar kita semua.
Sampai bilakah rakyat Malaysia harus dihadapkan dengan cerita-cerita yang menimbulkan kemarahan? Tidak bolehkah kita tutup kisah pilihan raya dan fokus kepada pembinaan negara pula?
Jawapannya mudah sahaja. Ia harus bermula dari diri kita sendiri.
‘Tidak pasti, jangan kongsi’.
(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis) – BERNAMA