AL KISAH… Semua tentu maklum bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memang pernah bermusuhan dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 20 tahun lalu.
Ini bukan benda rahsia, malah dalam sidang media di ibu negara dengan semua koresponden agensi berita asing selepas pecat Anwar pada 1998, Mahathir mendakwa konon orang No.2nya itu tidak layak jadi pengganti beliau.
Akibatnya, Anwar melancarkan gerakan Reformasi dan lahir parti serpihan UMNO yang kemudian dikenali sebagai PKR dengan slogan unik berdasarkan kepada akronim nama UMNO itu sendiri – Undur Mahathir Negara Okay!
Ketika itu, jutaan penyokong tegar Anwar dimomokkan dengan kekejaman Mahathir menyalahgunakan kuasanya seumpama rejim diktator jahat waima diberi gelaran buruk seperti Madey Kerala Kutty selain Firaun Maha Zalim.
Malangnya demi kuasa, Mahathir yang mendakwa kononnya mahu bersara dari politik pada tahun 2003 itu sebelum tiba-tiba buat ‘pusingan U’ pada 2016, dan kali ini bersungguh-sungguh pula mahu Anwar menjadi perdana menteri.
Lucunya, pada sidang media di ibu negara hari ini, ketua kerajaan paling tua di dunia itu mendakwa konon Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ada menyatakan kesediaannya memberi pengampunan diraja kepada Anwar.
“Baginda bersedia untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar, jadi kami akan menyiapkan segala proses dokumen. Ia adalah pengampunan secara penuh, yang juga bermaksud beliau bukan sahaja diberi pengampunan.
“Tetapi juga akan dibebaskan dengan segera apabila mendapat pengampunan. Jadi selepas itu, Anwar bebas untuk menyertai politik,” kata Mahathir. Ironi setakat ini pihak Istana Negara tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Ia sekali gus mencetuskan spekulasi cakap politik mengenai kesahihan perkara itu apatah lagi Mahathir selamba sahaja mengeksploitasi nama Seri Paduka Baginda konon ada pernah berjanji untuk mengampunkan Anwar pula.
Ada pemerhati politik tempatan menyifatkan Mahathir mungkin berbuat demikian supaya rakyat percaya konon Yang di-Pertuan Agong mahu membebaskan Anwar dan sepatutnya dapat keluar hukuman penjara pada 8 Jun.
Ini bermakna jika Anwar gagal menerima pengampunan diraja, para penyokong tegar Pakatan Harapan (PH sebuah organisasi politik haram tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) akan mendakwa baginda sebagai penipu!
Jika ini berlaku, kemungkinan besar akan berlaku demonstrasi haram secara besar-besaran di depan Istana Negara untuk biadab mendesak Yang di-Pertuan Agong menepati janji atau ada petisyen agar baginda diturunkan takhta.
Ia mungkin tampak keterlaluan tetapi sejarah pernah mendedahkan Mahathir pergunakan kes Prebet Adam di Chow Kit pada 1985 dikaitkan almarhum Sultan Johor menyebabkan seluruh institusi beraja ‘dihukum’ menjadi mangsa.
Biarlah ini dianggap cuma spekulasi, tetapi jika diamati, Mahathir bijak berpolitik memanipulasi sentimen rakyat kerana sebelum ini beliau mendakwa Anwar akan diberi jawatan perdana menteri selepas dua bulan PH berkuasa.
Kelakarnya, tempoh ‘menunggu’ tersebut konon dinaikkan pula kepada dua tahun dan selepas itu ayat Mahathir berubah lagi kepada beberapa ketika! Apakah ini pusingan U terbaik di dunia untuk misi memperbodohkan rakyat?
Hakikatnya, mereka berdua adalah seteru. Khabar angin turut tular mendakwa Anwar tidak ‘selesa’ Mahathir jadi semula perdana menteri kerana sedar komplot bekas bosnya itu licik mahu lantik pula anaknya, Mukhriz sendiri.
Ia terbongkar apabila agensi berita rasmi Bernama hari ini ada menyiarkan analisis sempena pelantikan Mahathir sebagai perdana menteri bahawa beliau keluar UMNO akibat ‘kecewa’ Mukhriz gagal pemilihan jawatan parti itu.
Laporan tersebut kemudian dipadamkan, namun ia membuktikan Mahathir ada rancangan mahu Mukhriz dilantik sebagai naib presiden sebelum menjadi timbalan presiden dan akhirnya presiden parti terbesar Melayu di dunia itu.
Sekiranya ini benar, maka terbuktilah Mahathir bukan mahu menyelamatkan Malaysia, tetapi demi agenda peribadi sehingga sanggup tergamak ‘bunuh’ UMNO yang banyak berjasa terhadap negara termasuk mempertahankan Islam.
Setakat ini tiada tempoh masa muktamad diberikan Mahathir untuk Anwar menjadi perdana menteri yang kelapan, tetapi ‘drama’ politik unik mereka sudah pun berjaya mengkucar-kacirkan arena siasah Malaysia. – Mynewshub.cc
*Video berikut sekadar hiasan…