GULUNG tikar bukan bermaksud gagal bagi penyanyi yang telah berjaya membawa bakatnya ke mata dunia, Yuna Zarai.
Kini, penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat itu menegaskan bahawa keputusannya untuk menutup butik pakaiannya, November Culture bukanlah bermaksud dia sudah menyerah kalah.
Selama empat tahun, butik yang telah beroperasi di Subang Jaya, Selangor itu merupakan titik awal bagi penyanyi lagu Crush itu untuk memulakan semula episod baharunya dalam kehidupan.
“Saya sangat sayangkan perniagaan ini, tetapi sudah tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Disebabkan keadaan yang tidak dijangka, saya tidak lagi mampu dari segi kewangan untuk meneruskan perniagaan ini,” katanya.
Pengumuman itu telah dibuat oleh Yuna sendiri di akaun Instagram miliknya serta memberitahu bahawa faktor kewangan merupakan punca utama dia mengambil keputusan berat itu.
Malah, ia turut memberi peluang kepada anak jati kelahiran Alor Setar, Kedah itu untuk mempelajari lebih banyak tentang selok-belok dunia perniagaan.
Masakan tidak, perniagaan butik itu telah diuruskan olehnya sendiri selaku pengarah kreatif, model serta jurugambar dan dia hanya dibantu oleh beberapa pembantu sahaja.
Dalam masa yang sama, isteri kepada Adam Yousof Sinclair itu turut menyedari bahawa November Culture perlu menukar haluan jika mahu mendapatkan keuntungan serta dapat menyelamatkan perniagaan itu.
“Saya bagaimanapun, berbangga sudah memberikan yang terbaik. Perniagaan ini bergerak sendiri dan tidak bergantung kepada sesiapa sebagai pelabur.
“Tiada siapa memberitahu apa yang patut dijual atau apa perlu dilakukan untuk melariskan jualan. Sebaliknya, saya bersama beberapa teman cuma menggerakkan perkara yang kami suka. Kami bangga mempunyai pengikut dari seluruh dunia,” ujarnya lagi.
Terkini, Yuna dikatakan bakal muncul dengan single keempatnya tetapi maklumat lanjut mengenai single berkenaan masih lagi menjadi rahsia. –Â MYNEWSHUB.CC/AH