Sunday, January 26, 2025

Creating liberating content

Tahap Kesuburan Wanita Malaysia...

KUALA LUMPUR - Tahap kesuburan di kalangan wanita Malaysia menunjukkan penurunan mendadak sejak...

Zahid ‘Simpati’ Dengan Kerajaan...

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan 'simpati'...

9.1 Juta Isi Rumah...

KUALA LUMPUR - Hampir setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia akan mendapat kemudahan...

Wow! Baru Aje 19...

Lelaki di luar sana pastinya cemburu dengan remaja ini apabila mendakwa mempunyai empat...

Cabaran Menunggu Selepas Angkat Sumpah

KUALA LUMPUR – Dua belas hari selepas rakyat Malaysia memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara, hari ini 13 anggota Kabinet awal yang dinamakan akhirnya mengangkat sumpah menandakan permulaan baharu dalam pentadbiran kerajaan.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah rahsia sebagai menteri persekutuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang ini selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan dan mengesahkan tanggungjawab menteri-menteri tersebut yang memulakan tugas rasmi mereka serta-merta.

Jika sebelum ini tumpuan banyak terarah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sejurus beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada 10 Mei lepas, kini cabaran mengemudi kerajaan baharu akan dikongsi bersama 13 anggota Kabinet berkenaan yang akan membantu beliau menunaikan segala janji dalam manifesto PH.

Dr. Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun antara tahun 1981 hingga 2003 selain berpengalaman memegang beberapa portfolio kementerian, pastinya tidak berdepan masalah menyesuaikan diri sebagai anggota Kabinet persekutuan.

Seorang daripada 13 anggota Kabinet yang mengangkat sumpah hari ini, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat tidak mempunyai masalah kerana pengalaman berada dalam Kabinet iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga pernah memegang pelbagai portfolio antaranya Menteri Pelajaran, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Belia dan Sukan.

Bagaimanapun 10 yang mengangkat sumpah termasuk Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga tidak berpengalaman, sementara Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal bermula 2008 dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali berpengalaman sebagai Menteri Besar Selangor.

Seorang penganalisis politik, Azmi Hassan berkata walaupun tiada pengalaman berada dalam Kabinet, ia sebenarnya bukanlah cabaran besar yang akan dihadapi mereka kerana mereka diketuai oleh pemimpin yang berpengalaman luas dalam pentadbiran selain akan dibantu pegawai-pegawai kerajaan yang berpengalaman.

Walaupun tidak menolak kemungkinan akan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan dengan persekitaran baharu, beliau berkata cabaran utama yang terpaksa dihadapi anggota Kabinet itu nanti adalah bagaimana untuk melaksanakan tanggungjawab dengan kewujudan Majlis Penasihat Kerajaan dan memenuhi kehendak Majlis Presiden PH.

“Masalah yang saya jangka akan dihadapi oleh menteri baharu ini adalah untuk menyesuaikan dengan kewujudan Majlis Penasihat Kerajaan dan Majlis Presiden PH, yang kedua-duanya dilihat agak berpengaruh dalam menentukan dasar negara,“ katanya kepada Bernama pasca majlis mengangkat sumpah itu hari ini.

Majlis Penasihat Kerajaan ditubuhkan untuk menasihati kerajaan berhubung ekonomi dan kewangan kini, manakala Majlis Presiden PH yang dianggotai kepimpinan utama parti komponen PH membuat keputusan secara konsensus berhubung sesuatu perkara.


Azmi yang juga pensyarah di sebuah universiti awam (UA) berkata cabaran lain yang mungkin dihadapi mereka adalah jika terdapat pembatalan dasar-dasar lama yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini, maka mereka perlu memikirkan dasar-dasar baharu yang lebih baik bagi menggantikan dasar-dasar lama tersebut.

Penganalisis politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamad pula berpendapat, cabaran sebenar yang akan dihadapi setiap anggota Kabinet itu ialah mengotakan apa yang telah diperkatakan mereka sebelum ini ketika menjadi pembangkang.

Katanya, ramai antara mereka sebelum ini sangat lantang dan kritikal terhadap kerajaan terdahulu dalam mengutarakan pelbagai pandangan untuk menambah baik dasar kerajaan bagi menjamin kebajikan masyarakat.

“Contoh M.Kulasegaran yang dilantik sebagai Menteri Tenaga Manusia sebelum ini banyak mengkritik dasar seperti dasar gaji minimum dan beliau yang merupakan seorang peguam banyak terlibat dalam kes-kes kebajikan buruh dan pekerja.

“Anthony Loke pula yang dilantik Menteri Pengangkutan juga sering memberi pandangan berkenaan urusan tadbir pengangkutan awam dan cabarannya untuk melihat isu-isu berkaitan pengangkutan awam, kalau dahulu mereka orang luar tapi kini mereka pembuat keputusan,” katanya.

Menurutnya, di sebalik pelbagai cabaran itu, rakyat tetap meletakkan harapan yang tinggi agar semua anggota Kabinet itu dapat menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto PH kerana mereka benar-benar mengharapkan perubahan yang diterjemahkan pada undian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas. – BERNAMA

Kategori