SEORANG pemain hoki, Carson Meyer, 20, yang menyangka dia menghidap penyakit serius akhirnya terkejut apabila rupa-rupanya ‘kesakitan’ itu adalah disebabkan oleh seekor cacing pita sepanjang 25 inci yang berada di dalam perutnya selama hampir setahun.
Pada mulanya, doktor dan jurulatihnya menyangka, Meyer yang berasal dari Ohio, mengalami kemurungan dan kemungkinan menghidap kanser.
Hanya selepas dia membuang air besar, barulah Meyer mengetahui selama ini cacing yang bersarang dalam perutnya telah mengakibatkan dia sakit.
Dalam temubual dengan The Athletic, Meyer berkata, dia berasa tidak bermaya sepanjang musim panas setelah menamatkan tahun pertama pengajiannya di Universiti of Miami.
Dia juga dipilih ke pusingan keenam untuk 2017 NHL Draft bagi Blue Jackets . Namun ketika musim sejuk, Meyer hilang selera makan, berat badannya menurun dan dia juga sering tidur.
Prestasinya dalam sukan hoki semakin menurun.
“Bukan sahaja saya rasa lembab, malah saya sangat penat. Saya tak boleh berfikir dengan jelas,” katanya yang telah menjalani beberapa ujian bagi mengenalpasti penyakit yang dialaminya.
“Tapi suatu hari saya ke tandas, seperti biasa, dan ia (cacing) keluar bersama najis,” katanya yang hampir pengsan melihat cacing itu.
Meskipun dia berasa takut dengan keadaan tersebut namun ternyata cacing berkenaan merupakan jawapan kepada penyakit yang dialaminya. – MYNEWSHUB.CC