PENGERUSI Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Darren Choy mengharapkan industri muzik tempatan tidak dipolitikkan dalam usaha membantu artis tempatan menjana lebih pendapatan.
Jelasnya, bidang muzik menunjukkan perkembangan yang positif meskipun masih dibelenggu isu cetak rompak.
“Apa yang berlaku sebelum ini, cakera padat tidak dapat dijual. Teknologi kini dijadikan fokus untuk industri muzik terus berkembang,” katanya pada acara Himpunan Harapan Warga Seni di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura berkata, teknologi memudahkan peminat untuk menikmati muzik secara digital seperti menerusi Spotify dan iTunes.
“Artis juga mendapat royalti menerusi platform digital ini. Kelebihan dengan Penyedia Perkhidmatan Digital ini, mereka tulus dengan laporan lagu yang ‘streaming’,” katanya.
Ketika ini, Malaysia mempunyai 1.2 juta pengguna perkhidmatan ‘streaming’ untuk audio dan satu langganan berjumlah RM14.90.
“Kalau ikutkan jumlah ini kecil tapi pada masa akan datang diharapkan lebih ramai artis tempatan yang dapat menikmati kemudahan ini,” katanya.
Sebagai perbandingan dengan negara maju lain, Darren menyatakan syarikat rakaman dan artis tempatan berdepan masalah untuk membuat persembahan apabila wujud banyak birokrasi.
“Satu projek besar mewujudkan Kuala Lumpur sebagai ‘music city’ akan dibangunkan. Apa yang diharapkan wujud insentif buat karyawan muzik seperti membuat persembahan dan sewa studio yang lebih rendah.
“Saya juga mengharapkan perkara ini tidak dipolitikkan,” katanya. – Astro Awani